Cerpen : Jodoh


Fahmi menatap foto Nisaa pada skrin telefon bimbitnya. Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu yang buah hatinya Nisaa telah pulang ke tanahair sejak kelmarin. Itupun daripada kawan baiknya Amer yang pulang bersama-sama Nisaa. Mereka bertiga merupakan rakan sejak dari bangku sekolah lagi, cuma seusai tamat SPM Fahmi dan Nisaa bercadang untuk meneruskan hubungan mereka ke step berikutnya.

Cinta jarak jauh memang banyak pahitnya jika hendak dibandingkan dengan yang manis. Tapi sebagai lelaki, Fahmi cuba bertenang dan hadapi setiap situasi dengan matang. Setakat Nisaa minta clash tu, dah selalu sangat didengarinya. Padanya macam main-main, sekadar ucapan mulut semata-mata.

Tapi kali lain sikit fiilnya. Tiada khabar, tiada call mahupun mesej. Takkan Nisaa temui cara baru untuk merajuk? Tetapi kenapa merajuk walhal mereka tidak bermasalah dalam waktu terdekat sebelum ini.

"Seyes ke Nisaa, Mer. Orang lain kot? Apasal aku tak tau dia dah balik?", tanya Fahmi bersungguh-sungguh. Nampak benar kesungguhannya itu kalau dilihat pada kerut-kerut di dahinya, dah boleh buat slot cakera padat gayanya.

"Aku seyes beb, takkan aku tak kenal Nisaa kot. Eh waima si Nisaa tu tukar jantina sekalipun, aku masih boleh detect bau ketiak dia sebatu jauh tau!", Amer membalas secara berseloroh sambil mulutnya tak lepas-lepas menyedut jus mangga yang dipesannya sebentar tadi. Fahmi pula asyik menatap skrin telefon bimbitnya, masih menunggu Nisaa membalas pesanan ringkasnya sejak semalam.

"Mungkin dia masih tak on telefon", bisik hati kecilnya walaupun dia tahu alasan tersebut tidak munasabah langsung. Hanya sekadar untuk memujuk hatinya yang rawan.

**********

Fahmi bersandar di kerusi, pandangannya mengadap siling. Fikirannya masih buntu memikirkan Nisaa. Nisaa ada update status Facebooknya, tetapi kenapa tidak membalas komen-komen daripadanya. Fahmi asyik memikirkan apakah salah dirinya sehinggkan buah hatinya itu bersikap dingin sebegitu. Telefon pun tidak berangkat. Kepalanya jadi sakit.

"Awak ada masalah? Tak nak kongsi dengan saya?",tiba-tiba suara itu muncul dari arah belakang. Fahmi pantas memperbetulkan duduknya. Gadis tersebut menarik kerusi, duduk di hadapannya. Fahmi hanya membalas dengan senyuman. Dania merupakan seorang gadis yang selalu menjadi perhatian kawan-kawan pejabatnya yang lain tetapi suka sangat menghabiskan masa dengannya. Bukan sahaja menghabiskan masa, malah tugas Fahmi sendiri adalah menghabiskan makanan setiap kali Dania membawa bekal ke pejabat.

"Sedap makaroni goreng awak. Masak sendiri ke?", soal Fahmi kepada Dania sewaktu awal-awal perkenalan mereka dahulu

"Yup. Sedap? Kalau macamtu boleh la saya masakkan untuk awak hari-hari ye?", balas Dania, Fahmi anggukkan sahaja. Almaklumlah perutnya juga masih belum diisi sejak pagi.. jadi fokusnya hanya untuk makan sahaja.

".. Manala tau kan.. mungkin satu hari nanti saya kena jadi 'tukang masak' dalam hidup awak", ujar Dania sambil berteleku memandang Fahmi menyuap makanan ke dalam mulut. Fahmi tersentak lalu tersedak. Cepat-cepat Dania menghulurkan cawan berisi air. Hanya tawa kecil kedengaran keluar daripada bibir mungil Dania. Muka Fahmi merah, macam kena tuam dengan air panas. Macam orang tahan kentut pun boleh juga!

Dia sendiri tak pasti kenapa Dania memberi lebih perhatian kepadanya walhal ramai lagi kawan-kawannya yang lebih hensem, kacak dan subur berbanding dirinya. Apalah yang Dania nampak pada dirinya? Kenapa gadis tersebut masih mengharapkannya walaupun dia tahu yang Fahmi sudah berpunya? Mungkin Dania ada masalah mata? Matanya kero barangkali atau bahasa saintifiknya juling-juling itik. Tapi kalau diperhatikan dalam jarak sehasta macam tak pula.

Fahmi cuba untuk tidak terlalu rapat, selain daripada mengelak cakap-cakap orang.. dia juga tak mahu Dania terlalu berharap padanya. Lagipun dia kenal siapa dirinya. Dia tetap setia pada kekasih hatinya ucuk acam intan payung buah hati pengarang jantung, si Nisaa walaupun acapkali penangan makanan yang ditapau Dania membuatkan dia 'gila' seketika. Jadi tak salahlah sekiranya dia menjadikan lagu Aku Masih Setia nyanyian Dia Fadila sebagai nada telefon bimbitnya. Kena sangatla kan walaupun si Amer kata perangainya tak ubah macam jamban!

"Takde pape la wak. Nothing serious", muka Fahmi nampak bangga bila dia mampu melafazkan dua patah perkataan bahasa Inggeris tersebut dengan lancar. Dari raut wajah Dania, nampak bebenor masih tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Fahmi tadi.

"Heh ye la tu. Nak sorok apa lagi wak dengan saya. Cerita la, mana la tau kalau saya boleh bagi pendapat ke apa", Dania mendesak lagi, malah kali ini lebih manis senyumannya. Fahmi mengalah, dia ceritakan apa yang telah berlaku.. perubahan mendadak Nisaa terhadap dirinya. Fahmi sedari tadi perasan, semakin lama dia bercerita mengenai Nisaa.. raut wajah Dania pula semakin hambar dan tiada lagi senyuman terukir pada bibirnya.

"Awak sayangkan dia?", Dania menyoal walaupun dia sendiri tahu apakah jawapan yang akan Fahmi berikan. Tanyalah banyak mana.. Fahmi tetap kekal dengan jawapan yang sama. Fahmi hanya mengangguk sebagai membalas soalan Dania kepadanya.

"Apa kata awak jumpa dengannya. Setakat telefon dan mesej takkan menyelesaikan masalah, malah Nisaa sendiri akan mengambil jalan untuk terus berdiam diri. Jangan fikir negatif kalau awak yakin yang masalah itu bukan berpunca daripada awak. Jumpa dengannya, buat macam biasa.. secara santai lebih baik. Apakata awak hadiahkan dia bunga. Cuba hantar hari-hari dalam tempoh seminggu ini", Dania memberi cadangan membuatkan Fahmi termenung panjang. Kenapa setiap kali dia dan Nisaa bermasalah.. Dania yang menjadi orang tengahnya?

Fahmi tersenyum, dia berpuas hati dengan cadangan yang Dania berikan. Hatinya kembali lapang, selapang lapangan terbang. Dania pun turut mengukirkan senyuman tatkala melihat raut wajah Fahmi kembali merah ceria. Siapa yang tak gembira bila melihat orang tersayang tersenyum ceria. Dania bingkas bangun untuk berlalu tetapi sebelum dia beredar sempat dia memberi pesan kepada Fahmi.

"..saya lakukan ini sebab saya sayangkan awak. Tapi maaflah untuk kali ini sahaja ye", Dania berlalu sambil tangannya melambai-lambai kecil ke arahnya. Fahmi tercengang, lubang hidungnya kembang kempis minta diberi lebih oksigen. Tak tahu sama ada nak buat-buat pengsan atau berlari anak keliling pejabat sambil gigit hujung sapu tangan akibat teruja melampau-lampau. Perghh!!


********** 

"Salam cik, boleh bungkuskan saya sejambak bunga.. straw lebih ikat tepi ye", Fahmi melawak membuatkan Amer sedikit cemburu. Cemburu kerana tidak mampu membuat lawak tahap tinggi seperti Fahmi. Jarang-jarang manusia boleh melawak cenggitu. Gadis kedai bunga tersebut hanya tersenyum, tak termakannya dengan lawak-lawak spastik seperti itu. Dia lantas mengambil beberapa kuntum bunga dan digubahnya sebagai contoh.

"Macamana dengan yang ini?", ujar gadis tersebut. Fahmi tercengang, dalam dua minit sahaja gadis tersebut sudah menyiapkan contoh gubahan untuknya. "Brilliant!!", Amer tersenyum, dia pula yang teruja dengan hasil kerja gadis tersebut.. begitu juga Fahmi. Dia pasti gubahan itu boleh melembutkan hati buah hatinya.. dan dia tertunggu-tunggukan saat manis itu.

Hampir setiap hari Fahmi mengirimkan jambangan bunga untuk Nisaa. Dia berharap agar kekeruhan hubungan mereka berdua dapat diperbaiki. Hari pertama.. hari kedua, masih tiada berita. Namun dia masih tak berputus asa. Dia pasti Nisaa tetap akan mengalah. Sekeras-keras hati wanita, pasti akan lembut tak kira berapa lama masa di ambil sekalipun. Apa yang patut dia lakukan sekarang hanya bersabar. Biarlah dia bersabar sikit, tak rugi apa-apa jika hendak dibandingkan dengan hubungan yang telah lama dipatri dengan Nisaa.

"Amacam progress?", Dania menegur Fahmi sewaktu dia leka membasuh cawan di pantri.

"Ok kot. Masih tiada perkembangan positif", jawab Fahmi hambar. Dania boleh mengagak cerita di sebalik air muka yang ditunjukkan Fahmi.

"Awak masih tak mahu mengalah?", tanya Dania lagi namun mata Fahmi masih pada cawan di hadapannya. Fahmi tersenyum sinis, bahunya diangkat sedikit tanda tidak tahu. Tidak tahu apa lagi yang harus dia lakukan. Apa lagi yang perlu dia korbankan untuk memikat kembali hati Nisaa.

Dania menghampiri Fahmi, berdiri betul-betul dihadapannya. Fahmi sedikit terkejut dan melangkah kecil ke belakang. Dania tersenyum memandangnya.

"Fahmi.. kalau orang dah tak sudi, please jangan mengharap lagi. Kalau dia sudah tak mampu buatkan awak tersenyum, berilah peluang kepada orang lain untuk menggembirakan hati awak", ujar Dania lembut, sambil menyerahkan gelas berisi air milo kepadanya. Fahmi memandang Dania dalam-dalam. Dia sedar masih ada insan lain yang mengambil berat terhadapnya. Cuma dia tak pasti adakah itu jalan terbaik untuknya.

**********

"Aku cakap mesti ko tak percaya. Aku nampak dengan mata aku sendiri beb, Nisaa keluar berpegangan tangan dengan orang lain!", beria-ria Amer cuba meyakinkan Fahmi tetapi Fahmi tetap cuba tidak mahu menerima hakikat. Mungkin Amer salah orang atau mungkin Nisaa keluar dengan kawan. Dia cuba berfikiran positif. Dia hanya tersenyum, membuatkan Amer buntu. Kalau pun Nisaa sudah punya pengganti yang lebih baik, biarlah dia nampak dengan kepalanya sendiri. Bukan tak nak mempercayai apa yang telah Amer katakan, cuma dia tak mahu mendengar dari sebelah pihak sahaja.

"Trimas beb sebab ambil berat pasal aku", Fahmi memaut bahu Amer. Amer pasrah, dia sendiri tak tahu perasaan apakah yang membelenggu Fahmi ketika itu. Nak dikatakan marah, tidak.. nak kata sedih pun tidak. Amer mengeluh panjang, menggeleng-gelengkan kepala sambil Fahmi terus menyedut air yang dipesannya sebentar tadi. Pandangannya semakin menjauh.. sejauh fikirannya melayang mengingati Nisaa saban hari.

Fahmi masih seperti selalu, mengirimkan bunga kepada Nisaa walaupun acapkali si penghantar bunga memberitahu yang bunganya hanya menjadi hiasan bakul sampah. Ada juga dia terfikir untuk berhenti berbuat demikian. Mungkin belum tiba masanya lagi. Masih ada sisa kekuatan untuk dia terus berharap.. cuma dia sendiri tak tahu sehingga bila.

Fahmi merebahkan badannya ke katil. Hari itu sangat memenatkan memandangkan dia terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan yang diminta bosnya. Sebaik pulang dari kerja, Dania pula mengajaknya untuk keluar makan. Fahmi turutkan sahaja memandangkan perutnya juga masih belum terisis sejak tengahari.

Telefon bimbitnya berbunyi. Antara sedar dan tidak dia menjawab panggilan tersebut. Mungkin panggilan daripada Dania.

"Hello awak..", terdengar suara lembut yang cukup dikenalinya di hujung talian membuatkan Fahmi bingkas bangun dan membetulkan duduknya.

"Awak ke Nisaa?", Fahmi cuba memastikan pemanggil tersebut adalah Nisaa. Sebaik sahaja dia tahu panggilan tersebut datangnya daripada Nisaa, tiba-tiba dia begitu teruja untuk bertanya banyak soalan untuk mendapatkan kepastian.

"Awak, maafkan saya. Selama ini saya ingat dengan berdiam diri.. awak akan melupakan saya. Saya ingat boleh mencari kebahagian saya sendiri, ternyata saya salah. Saya telah terima hukuman di atas dosa yang telah saya lakukan terhadap awak. Awak maafkanlah saya.. masih sudikah awak menerima saya kembali?",ujar Nisaa lemah mengharapkan belas ihsan Fahmi.

"Saya nak tahu.. daripada apa yang awak beritahu ni, saya anggap awak telah curang dengan saya. Betul ke Nisaa?", Fahmi cuba mendapatkan kepastian namun tiada jawapan yang diterimanya. Fahmi anggap telahannya tepat. Benarlah kata Amer, Nisaa curang kepadanya. Tetapi dia kembali.. kembali dan menyesal di atas perbuatannya itu. Fahmi sendiri buntu untuk membuat keputusan.. apakah tindakan yang harus diambilnya.

Fahmi tidak memberi apa-apa kata putus. Perbualan mereka malam itu hanya sekadar bertanya khabar, tidak lebih daripada itu. Sekurang-kurangnya Nisaa sedar akan perbuatannya dan kembali sekali lagi ke sisinya. Dia perlukan masa untuk berfikir sedalam-dalamnya. Di mungkin akan membuat kesilapan dengan menerima Nisaa tetapi dia sendiri tak tahu jodoh yang ditentukan untuknya. Mungkin Nisaa, mungkin juga Dania..

**********



Sebaik sahaja Fahmi menguak pintu, dia terdengar suara sedang memarahi seseorang dari dalam kedai. Langkah Fahmi sedikit perlahan manakala cuping telinganya cuba menangkap apa yang diungkapkan oleh wanita separuh umur tersebut. Tetapi sebaik sahaja sedar Fahmi menghampiri, wanita tersebut kembali merendahkan suara dan bergegas untuk pergi. Gadis di hadapan kaunter memalingkan badan ke belakang. Fahmi dapat mengagak dia cuba mengesat matanya yang berair.

"Ye, awak nak tempah gubahan bunga lagi?", tanya gadis tersebut sambil tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Manis seperti selalu. Walaupun di lubuk hatinya ingin bertanya, tetapi raut wajah ceria di hadapannya seolah-olah tidak membenarkan dia berbuat demikian.

"Haah, cuma kali ni boleh awak buat yang special. Lain dari biasa. Ikutlah awak nak gubah macamana pun, janji cantik", kata Fahmi sopan. Gadis tersebut mengangguk tanda faham. Tanpa berlengah dia terus membuat kerjanya. Fahmi sendiri tidak tahu nama gadis tersebut walaupun hampir setiap hari dia memesan bunga dari kedai tersebut.

"Nah Encik Fahmi, saya dah siapkan", gadis tersebut menyerahkan sejambak bunga yang digubahnya. Fahmi sekali lagi berpuas hati. Hasil kerja gadis tersebut tak pernah menghampakannya. Setelah menyerahkan baki duit, Fahmi pun beredar dari situ.

"Encik, good luck ye!", gadis tersebut melaung dari hadapan kaunter. Fahmi berpaling dan tersenyum.. mungkin si gadis tersebut memberi semangat kepadanya. Itupun setelah dia menawarkan diri untuk menuliskan nota khas, barangkali ditujukan kepada orang yang sama iaitu Nisaa. Fahmi membalas senyum tanda terima kasih dan kembali meneruskan perjalanannya.

**********

Enam bulan berselang..

"Perghh tahniah beb! Tak sangka pulak kau nak kahwin?", Amer menepuk-nepuk bahu Fahmi yang tersipu-sipu malu. Dia agak janggal apabila memaklumkan yang dia bakal bertukar status kepada Amer, tetapi Amer lah satu-satunya kawan yang paling rapat dengannya.

"Kau kahwin dengan siapa ni? Nisaa? Dania?", bermacam-macam andaian yang diberikan Amer tetapi Fahmi seperti biasa, tersenyum tanpa sebarang jawapan khusus.

"Err siapa Qamilla ni?", dahi Amer sedikit berkerut tatkala melihat nama yang tertulis pada kad kahwin Fahmi. Setahunya, Fahmi tiada kenalan yang bernama Qamilla. Kalau ada pun, pasti sudah dikenalkannya terlebih dahulu. Nama Qamilla terus-terusan menjadi tanda tanya kepada Amer.

"Kau masih kenal awek kedai bunga? Itulah bakal pengantin perempuannya", ujar Fahmi membuatkan Amer ternganga. Gadis yang selalu gubahkan bunga untuk menyatukan Fahmi dengan Nisaa? Dan akhirnya gadis tersebut juga menjadi wanita pilihan Fahmi. Amer tepuk dahi berkali-kali. Macam tak percaya tetapi itulah hakikat yang terpaksa diterimanya. Fahmi terpaksa membuat keputusan tidak menerima Nisaa kerana Nisaa sudah pun terlebih dahulu membuat keputusan terbaik meninggalkan dirinya. Dania? Gadis itu terlalu sempurna untuk dirinya dan dia yakin Dania akan temui pasangan sempurna yang lebih sesuai untuk dirinya.

Kenapa Qamilla? Gadis yang penuh dengan senyuman, sangat kreatif dan tinggi imaginasi berkemungkinan mampu membantunya dalam menyelesaikan hal berkenaan rumahtangga, sangat tabah dan cekal orangnya dan yang paling penting adalah alasan untuk dia terus tersenyum untuk sepanjang hayatnya.

Fahmi akhirnya menemui rusuk kirinya.. Qamilla Ayesha.

Nah! Itulah yang dinamakan jodoh..


15 Comments

  1. gilalahhh cerita kau afzal..taknak cuba htr kat paper ke..majalah ke..terbaik woooo...
    sumpah..tak bosan langsung...

    ReplyDelete
  2. best ;) x boring langsung.. hehhe..

    ReplyDelete
  3. Nice! cuba2 lah hantar ke Majalah ker, paper ker?... hehe

    ReplyDelete
  4. best cerita nih.. hehe.. i like

    ReplyDelete
  5. fuh , ni first time nana baca cepern abam sampai habis...haaha :v


    dah nama jodoh..kta sangka dia lah jodoh kita, tapi Allah sebaik-baik perancang kan bang?

    ReplyDelete
  6. Salam ukhuwah dan salam ziarah dari Bunda..

    ReplyDelete
  7. good job afzal..dah mula menulis..ade feels dah ni :)

    ReplyDelete
  8. tahniah apzal...ada feel la Cerpen Jodoh ni. menarik dan bikin orang tertarik. boleh pergi jauh ni apzal. percayalah... :)

    ReplyDelete
  9. Menarik cerpen ni. Jemput join kontest SW bro: http://jejakasombong.blogspot.com/2014/03/5-tanda-patut-tinggalkan-je-perempuan-tu.html

    ReplyDelete
  10. perghh. panjang betul.. haha. sanggup baca sampai habis sebb nak komen ckp best. :P

    ReplyDelete
  11. perghh. panjang betul.. haha. sanggup baca sampai habis sebb nak komen ckp best. :P

    ReplyDelete
  12. congrats! satu cerpen yg menarik. lps ni leh buat novel mcm ahadiat akashah tu. mana tau kot2 boleh difilemkan. abe kie follow sini. TQ.

    ReplyDelete