'> February 2014 | afzalsukasuki

Blog Sihatimerahjambu



Friday, February 28, 2014

Cerpen : Jodoh


Fahmi menatap foto Nisaa pada skrin telefon bimbitnya. Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu yang buah hatinya Nisaa telah pulang ke tanahair sejak kelmarin. Itupun daripada kawan baiknya Amer yang pulang bersama-sama Nisaa. Mereka bertiga merupakan rakan sejak dari bangku sekolah lagi, cuma seusai tamat SPM Fahmi dan Nisaa bercadang untuk meneruskan hubungan mereka ke step berikutnya.

Cinta jarak jauh memang banyak pahitnya jika hendak dibandingkan dengan yang manis. Tapi sebagai lelaki, Fahmi cuba bertenang dan hadapi setiap situasi dengan matang. Setakat Nisaa minta clash tu, dah selalu sangat didengarinya. Padanya macam main-main, sekadar ucapan mulut semata-mata.

Tapi kali lain sikit fiilnya. Tiada khabar, tiada call mahupun mesej. Takkan Nisaa temui cara baru untuk merajuk? Tetapi kenapa merajuk walhal mereka tidak bermasalah dalam waktu terdekat sebelum ini.

"Seyes ke Nisaa, Mer. Orang lain kot? Apasal aku tak tau dia dah balik?", tanya Fahmi bersungguh-sungguh. Nampak benar kesungguhannya itu kalau dilihat pada kerut-kerut di dahinya, dah boleh buat slot cakera padat gayanya.

"Aku seyes beb, takkan aku tak kenal Nisaa kot. Eh waima si Nisaa tu tukar jantina sekalipun, aku masih boleh detect bau ketiak dia sebatu jauh tau!", Amer membalas secara berseloroh sambil mulutnya tak lepas-lepas menyedut jus mangga yang dipesannya sebentar tadi. Fahmi pula asyik menatap skrin telefon bimbitnya, masih menunggu Nisaa membalas pesanan ringkasnya sejak semalam.

"Mungkin dia masih tak on telefon", bisik hati kecilnya walaupun dia tahu alasan tersebut tidak munasabah langsung. Hanya sekadar untuk memujuk hatinya yang rawan.

**********

Fahmi bersandar di kerusi, pandangannya mengadap siling. Fikirannya masih buntu memikirkan Nisaa. Nisaa ada update status Facebooknya, tetapi kenapa tidak membalas komen-komen daripadanya. Fahmi asyik memikirkan apakah salah dirinya sehinggkan buah hatinya itu bersikap dingin sebegitu. Telefon pun tidak berangkat. Kepalanya jadi sakit.

"Awak ada masalah? Tak nak kongsi dengan saya?",tiba-tiba suara itu muncul dari arah belakang. Fahmi pantas memperbetulkan duduknya. Gadis tersebut menarik kerusi, duduk di hadapannya. Fahmi hanya membalas dengan senyuman. Dania merupakan seorang gadis yang selalu menjadi perhatian kawan-kawan pejabatnya yang lain tetapi suka sangat menghabiskan masa dengannya. Bukan sahaja menghabiskan masa, malah tugas Fahmi sendiri adalah menghabiskan makanan setiap kali Dania membawa bekal ke pejabat.

"Sedap makaroni goreng awak. Masak sendiri ke?", soal Fahmi kepada Dania sewaktu awal-awal perkenalan mereka dahulu

"Yup. Sedap? Kalau macamtu boleh la saya masakkan untuk awak hari-hari ye?", balas Dania, Fahmi anggukkan sahaja. Almaklumlah perutnya juga masih belum diisi sejak pagi.. jadi fokusnya hanya untuk makan sahaja.

".. Manala tau kan.. mungkin satu hari nanti saya kena jadi 'tukang masak' dalam hidup awak", ujar Dania sambil berteleku memandang Fahmi menyuap makanan ke dalam mulut. Fahmi tersentak lalu tersedak. Cepat-cepat Dania menghulurkan cawan berisi air. Hanya tawa kecil kedengaran keluar daripada bibir mungil Dania. Muka Fahmi merah, macam kena tuam dengan air panas. Macam orang tahan kentut pun boleh juga!

Dia sendiri tak pasti kenapa Dania memberi lebih perhatian kepadanya walhal ramai lagi kawan-kawannya yang lebih hensem, kacak dan subur berbanding dirinya. Apalah yang Dania nampak pada dirinya? Kenapa gadis tersebut masih mengharapkannya walaupun dia tahu yang Fahmi sudah berpunya? Mungkin Dania ada masalah mata? Matanya kero barangkali atau bahasa saintifiknya juling-juling itik. Tapi kalau diperhatikan dalam jarak sehasta macam tak pula.

Fahmi cuba untuk tidak terlalu rapat, selain daripada mengelak cakap-cakap orang.. dia juga tak mahu Dania terlalu berharap padanya. Lagipun dia kenal siapa dirinya. Dia tetap setia pada kekasih hatinya ucuk acam intan payung buah hati pengarang jantung, si Nisaa walaupun acapkali penangan makanan yang ditapau Dania membuatkan dia 'gila' seketika. Jadi tak salahlah sekiranya dia menjadikan lagu Aku Masih Setia nyanyian Dia Fadila sebagai nada telefon bimbitnya. Kena sangatla kan walaupun si Amer kata perangainya tak ubah macam jamban!

"Takde pape la wak. Nothing serious", muka Fahmi nampak bangga bila dia mampu melafazkan dua patah perkataan bahasa Inggeris tersebut dengan lancar. Dari raut wajah Dania, nampak bebenor masih tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Fahmi tadi.

"Heh ye la tu. Nak sorok apa lagi wak dengan saya. Cerita la, mana la tau kalau saya boleh bagi pendapat ke apa", Dania mendesak lagi, malah kali ini lebih manis senyumannya. Fahmi mengalah, dia ceritakan apa yang telah berlaku.. perubahan mendadak Nisaa terhadap dirinya. Fahmi sedari tadi perasan, semakin lama dia bercerita mengenai Nisaa.. raut wajah Dania pula semakin hambar dan tiada lagi senyuman terukir pada bibirnya.

"Awak sayangkan dia?", Dania menyoal walaupun dia sendiri tahu apakah jawapan yang akan Fahmi berikan. Tanyalah banyak mana.. Fahmi tetap kekal dengan jawapan yang sama. Fahmi hanya mengangguk sebagai membalas soalan Dania kepadanya.

"Apa kata awak jumpa dengannya. Setakat telefon dan mesej takkan menyelesaikan masalah, malah Nisaa sendiri akan mengambil jalan untuk terus berdiam diri. Jangan fikir negatif kalau awak yakin yang masalah itu bukan berpunca daripada awak. Jumpa dengannya, buat macam biasa.. secara santai lebih baik. Apakata awak hadiahkan dia bunga. Cuba hantar hari-hari dalam tempoh seminggu ini", Dania memberi cadangan membuatkan Fahmi termenung panjang. Kenapa setiap kali dia dan Nisaa bermasalah.. Dania yang menjadi orang tengahnya?

Fahmi tersenyum, dia berpuas hati dengan cadangan yang Dania berikan. Hatinya kembali lapang, selapang lapangan terbang. Dania pun turut mengukirkan senyuman tatkala melihat raut wajah Fahmi kembali merah ceria. Siapa yang tak gembira bila melihat orang tersayang tersenyum ceria. Dania bingkas bangun untuk berlalu tetapi sebelum dia beredar sempat dia memberi pesan kepada Fahmi.

"..saya lakukan ini sebab saya sayangkan awak. Tapi maaflah untuk kali ini sahaja ye", Dania berlalu sambil tangannya melambai-lambai kecil ke arahnya. Fahmi tercengang, lubang hidungnya kembang kempis minta diberi lebih oksigen. Tak tahu sama ada nak buat-buat pengsan atau berlari anak keliling pejabat sambil gigit hujung sapu tangan akibat teruja melampau-lampau. Perghh!!


********** 

"Salam cik, boleh bungkuskan saya sejambak bunga.. straw lebih ikat tepi ye", Fahmi melawak membuatkan Amer sedikit cemburu. Cemburu kerana tidak mampu membuat lawak tahap tinggi seperti Fahmi. Jarang-jarang manusia boleh melawak cenggitu. Gadis kedai bunga tersebut hanya tersenyum, tak termakannya dengan lawak-lawak spastik seperti itu. Dia lantas mengambil beberapa kuntum bunga dan digubahnya sebagai contoh.

"Macamana dengan yang ini?", ujar gadis tersebut. Fahmi tercengang, dalam dua minit sahaja gadis tersebut sudah menyiapkan contoh gubahan untuknya. "Brilliant!!", Amer tersenyum, dia pula yang teruja dengan hasil kerja gadis tersebut.. begitu juga Fahmi. Dia pasti gubahan itu boleh melembutkan hati buah hatinya.. dan dia tertunggu-tunggukan saat manis itu.

Hampir setiap hari Fahmi mengirimkan jambangan bunga untuk Nisaa. Dia berharap agar kekeruhan hubungan mereka berdua dapat diperbaiki. Hari pertama.. hari kedua, masih tiada berita. Namun dia masih tak berputus asa. Dia pasti Nisaa tetap akan mengalah. Sekeras-keras hati wanita, pasti akan lembut tak kira berapa lama masa di ambil sekalipun. Apa yang patut dia lakukan sekarang hanya bersabar. Biarlah dia bersabar sikit, tak rugi apa-apa jika hendak dibandingkan dengan hubungan yang telah lama dipatri dengan Nisaa.

"Amacam progress?", Dania menegur Fahmi sewaktu dia leka membasuh cawan di pantri.

"Ok kot. Masih tiada perkembangan positif", jawab Fahmi hambar. Dania boleh mengagak cerita di sebalik air muka yang ditunjukkan Fahmi.

"Awak masih tak mahu mengalah?", tanya Dania lagi namun mata Fahmi masih pada cawan di hadapannya. Fahmi tersenyum sinis, bahunya diangkat sedikit tanda tidak tahu. Tidak tahu apa lagi yang harus dia lakukan. Apa lagi yang perlu dia korbankan untuk memikat kembali hati Nisaa.

Dania menghampiri Fahmi, berdiri betul-betul dihadapannya. Fahmi sedikit terkejut dan melangkah kecil ke belakang. Dania tersenyum memandangnya.

"Fahmi.. kalau orang dah tak sudi, please jangan mengharap lagi. Kalau dia sudah tak mampu buatkan awak tersenyum, berilah peluang kepada orang lain untuk menggembirakan hati awak", ujar Dania lembut, sambil menyerahkan gelas berisi air milo kepadanya. Fahmi memandang Dania dalam-dalam. Dia sedar masih ada insan lain yang mengambil berat terhadapnya. Cuma dia tak pasti adakah itu jalan terbaik untuknya.

**********

"Aku cakap mesti ko tak percaya. Aku nampak dengan mata aku sendiri beb, Nisaa keluar berpegangan tangan dengan orang lain!", beria-ria Amer cuba meyakinkan Fahmi tetapi Fahmi tetap cuba tidak mahu menerima hakikat. Mungkin Amer salah orang atau mungkin Nisaa keluar dengan kawan. Dia cuba berfikiran positif. Dia hanya tersenyum, membuatkan Amer buntu. Kalau pun Nisaa sudah punya pengganti yang lebih baik, biarlah dia nampak dengan kepalanya sendiri. Bukan tak nak mempercayai apa yang telah Amer katakan, cuma dia tak mahu mendengar dari sebelah pihak sahaja.

"Trimas beb sebab ambil berat pasal aku", Fahmi memaut bahu Amer. Amer pasrah, dia sendiri tak tahu perasaan apakah yang membelenggu Fahmi ketika itu. Nak dikatakan marah, tidak.. nak kata sedih pun tidak. Amer mengeluh panjang, menggeleng-gelengkan kepala sambil Fahmi terus menyedut air yang dipesannya sebentar tadi. Pandangannya semakin menjauh.. sejauh fikirannya melayang mengingati Nisaa saban hari.

Fahmi masih seperti selalu, mengirimkan bunga kepada Nisaa walaupun acapkali si penghantar bunga memberitahu yang bunganya hanya menjadi hiasan bakul sampah. Ada juga dia terfikir untuk berhenti berbuat demikian. Mungkin belum tiba masanya lagi. Masih ada sisa kekuatan untuk dia terus berharap.. cuma dia sendiri tak tahu sehingga bila.

Fahmi merebahkan badannya ke katil. Hari itu sangat memenatkan memandangkan dia terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan yang diminta bosnya. Sebaik pulang dari kerja, Dania pula mengajaknya untuk keluar makan. Fahmi turutkan sahaja memandangkan perutnya juga masih belum terisis sejak tengahari.

Telefon bimbitnya berbunyi. Antara sedar dan tidak dia menjawab panggilan tersebut. Mungkin panggilan daripada Dania.

"Hello awak..", terdengar suara lembut yang cukup dikenalinya di hujung talian membuatkan Fahmi bingkas bangun dan membetulkan duduknya.

"Awak ke Nisaa?", Fahmi cuba memastikan pemanggil tersebut adalah Nisaa. Sebaik sahaja dia tahu panggilan tersebut datangnya daripada Nisaa, tiba-tiba dia begitu teruja untuk bertanya banyak soalan untuk mendapatkan kepastian.

"Awak, maafkan saya. Selama ini saya ingat dengan berdiam diri.. awak akan melupakan saya. Saya ingat boleh mencari kebahagian saya sendiri, ternyata saya salah. Saya telah terima hukuman di atas dosa yang telah saya lakukan terhadap awak. Awak maafkanlah saya.. masih sudikah awak menerima saya kembali?",ujar Nisaa lemah mengharapkan belas ihsan Fahmi.

"Saya nak tahu.. daripada apa yang awak beritahu ni, saya anggap awak telah curang dengan saya. Betul ke Nisaa?", Fahmi cuba mendapatkan kepastian namun tiada jawapan yang diterimanya. Fahmi anggap telahannya tepat. Benarlah kata Amer, Nisaa curang kepadanya. Tetapi dia kembali.. kembali dan menyesal di atas perbuatannya itu. Fahmi sendiri buntu untuk membuat keputusan.. apakah tindakan yang harus diambilnya.

Fahmi tidak memberi apa-apa kata putus. Perbualan mereka malam itu hanya sekadar bertanya khabar, tidak lebih daripada itu. Sekurang-kurangnya Nisaa sedar akan perbuatannya dan kembali sekali lagi ke sisinya. Dia perlukan masa untuk berfikir sedalam-dalamnya. Di mungkin akan membuat kesilapan dengan menerima Nisaa tetapi dia sendiri tak tahu jodoh yang ditentukan untuknya. Mungkin Nisaa, mungkin juga Dania..

**********



Sebaik sahaja Fahmi menguak pintu, dia terdengar suara sedang memarahi seseorang dari dalam kedai. Langkah Fahmi sedikit perlahan manakala cuping telinganya cuba menangkap apa yang diungkapkan oleh wanita separuh umur tersebut. Tetapi sebaik sahaja sedar Fahmi menghampiri, wanita tersebut kembali merendahkan suara dan bergegas untuk pergi. Gadis di hadapan kaunter memalingkan badan ke belakang. Fahmi dapat mengagak dia cuba mengesat matanya yang berair.

"Ye, awak nak tempah gubahan bunga lagi?", tanya gadis tersebut sambil tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Manis seperti selalu. Walaupun di lubuk hatinya ingin bertanya, tetapi raut wajah ceria di hadapannya seolah-olah tidak membenarkan dia berbuat demikian.

"Haah, cuma kali ni boleh awak buat yang special. Lain dari biasa. Ikutlah awak nak gubah macamana pun, janji cantik", kata Fahmi sopan. Gadis tersebut mengangguk tanda faham. Tanpa berlengah dia terus membuat kerjanya. Fahmi sendiri tidak tahu nama gadis tersebut walaupun hampir setiap hari dia memesan bunga dari kedai tersebut.

"Nah Encik Fahmi, saya dah siapkan", gadis tersebut menyerahkan sejambak bunga yang digubahnya. Fahmi sekali lagi berpuas hati. Hasil kerja gadis tersebut tak pernah menghampakannya. Setelah menyerahkan baki duit, Fahmi pun beredar dari situ.

"Encik, good luck ye!", gadis tersebut melaung dari hadapan kaunter. Fahmi berpaling dan tersenyum.. mungkin si gadis tersebut memberi semangat kepadanya. Itupun setelah dia menawarkan diri untuk menuliskan nota khas, barangkali ditujukan kepada orang yang sama iaitu Nisaa. Fahmi membalas senyum tanda terima kasih dan kembali meneruskan perjalanannya.

**********

Enam bulan berselang..

"Perghh tahniah beb! Tak sangka pulak kau nak kahwin?", Amer menepuk-nepuk bahu Fahmi yang tersipu-sipu malu. Dia agak janggal apabila memaklumkan yang dia bakal bertukar status kepada Amer, tetapi Amer lah satu-satunya kawan yang paling rapat dengannya.

"Kau kahwin dengan siapa ni? Nisaa? Dania?", bermacam-macam andaian yang diberikan Amer tetapi Fahmi seperti biasa, tersenyum tanpa sebarang jawapan khusus.

"Err siapa Qamilla ni?", dahi Amer sedikit berkerut tatkala melihat nama yang tertulis pada kad kahwin Fahmi. Setahunya, Fahmi tiada kenalan yang bernama Qamilla. Kalau ada pun, pasti sudah dikenalkannya terlebih dahulu. Nama Qamilla terus-terusan menjadi tanda tanya kepada Amer.

"Kau masih kenal awek kedai bunga? Itulah bakal pengantin perempuannya", ujar Fahmi membuatkan Amer ternganga. Gadis yang selalu gubahkan bunga untuk menyatukan Fahmi dengan Nisaa? Dan akhirnya gadis tersebut juga menjadi wanita pilihan Fahmi. Amer tepuk dahi berkali-kali. Macam tak percaya tetapi itulah hakikat yang terpaksa diterimanya. Fahmi terpaksa membuat keputusan tidak menerima Nisaa kerana Nisaa sudah pun terlebih dahulu membuat keputusan terbaik meninggalkan dirinya. Dania? Gadis itu terlalu sempurna untuk dirinya dan dia yakin Dania akan temui pasangan sempurna yang lebih sesuai untuk dirinya.

Kenapa Qamilla? Gadis yang penuh dengan senyuman, sangat kreatif dan tinggi imaginasi berkemungkinan mampu membantunya dalam menyelesaikan hal berkenaan rumahtangga, sangat tabah dan cekal orangnya dan yang paling penting adalah alasan untuk dia terus tersenyum untuk sepanjang hayatnya.

Fahmi akhirnya menemui rusuk kirinya.. Qamilla Ayesha.

Nah! Itulah yang dinamakan jodoh..


Thursday, February 13, 2014

Pertandingan Menulis Cerpen Pendek Anjuran Rafina Mimi Abdullah


Kerana Pensil

Syahir menggigit-gigit hujung pensilnya yang kementot. Matanya meliar-liar memerhatikan ke kiri dan ke kanan, seolah-olah sedang menunggu seseorang. Mukanya pasrah, sesekali mengeluh tatkala melihat nasib motosikalnya yang tersadai di tepi pokok tidak jauh dari tempatnya berteduh. Motosikal itu merupakan pemberian abahnya sejak dia mula bekerja. Adalah hampir 3 tahun usianya. Cuma petang itu 'kesihatan' motosikalnya kurang memberangsangkan, mungkin merajuk kerana dapat tahu yang dia mahu membeli kereta.

Hujan sedari tadi tidak menunjukkan tanda seperti mahu berhenti. Semakin lama, semakin rancak dia menggigit pensilnya itu, kantung pundi kencingnya juga kian memberat seiring dengan perubahan suhu sekeliling. Syahir mula menggigil kesejukan, harapan untuk dia mendapat demam semakin 'cerah'. Sejurus selepas itu kelibat Azim, rakan serumahnya muncul dengan motosikal kapcainya. Dari jauh sumpah bunyi macam motobot, tapi bila muncul jauh api dari panggang. Itu pun dengan halaju maksima hanya 70 km/j. Kalau bawa laju sikit lagi boleh luruh semua skru yang ada.

Azim menyelak visor helmetnya, tersengih-sengih menampakkan giginya yang tidak rata mana. Tak boleh nak marah sangat si Azim ni. Di antara semua rakan serumahnya, si Azimlah yang paling kuat merajuk. Bayangkan si Napi suruh dia cepat mandi dengan sedikit tinggi nadanya, terus merajuk tak nak mandi. Makan masa dua hari jugak la dia tak mandi. Nasib la ada gosok gigi. Itu pun kat sinki dapur. Jadi untuk mengelakkan Azim buat kerja gila, dibuatnya baring atas jalan tetiba akibat dimarah.. Syahir nekad untuk simpankan dulu amarahnya itu. Sekurang-kurangnya tunggu sampai di rumah dulu baru dia buat keputusan. Mesti seronok dapat tengok Azim merajuk lagi. Comel apa lelaki berbulu dada sejemput merajuk!

Syahir tinggalkan pensilnya di atas bangku menunggu. Tatkala dia bangun untuk menghampiri Azim, ketika itu juga dia memerhatikan sesusuk tubuh berlari-lari anak menuju ke hentian bas tersebut. Gadis tersebut mengibas-ngibas titisan hujan yang mengenai baju kurungnya. Sesekali rambutnya berbuai ditiup angin, turut meniup kewarasan Syahir jauh-jauh. Ayu! Itu saja yang mampu dingkapkan hatinya. Padat, tepat.. tak perlu membazir air liur.

Syahir berdiri kaku, tersengih sendiri seperti orang bodoh. Ditambah pula dengan prop yang dikenakan kepadanya, bodohnya jadi berganda-ganda berkuasa dua. Masakan tidak dalam masa dia memerhatikan gadis itu, sempat pula si Azim potong suratkhabar buat baju hujan dan sarungkan kepadanya.

"Muat-muat je badan kau dengan suratkhabar Metro. Ni kalau basah kompom seksi ni!", berdekah-dekah Azim tertawa. Syahir mengetap bibir. Nak tak nak dia terpaksa sarung, mana ada baju hujan lain. Dalam waktu yang sama si gadis menaikkan pandangan. Mata mereka bertentang, si gadis menguntumkan senyuman. Darah Syahir naik mencanak-canak ke kepala, rasa mau pitam. Bukannya tak pernah menerima senyuman daripada perempuan lain, tetapi yang ni lain sedikit feelnya.

"Kau buat apa lagi berdiri tu, tak nak balik ke? Cepatlah Arianna Rose nak start ni!", Azim mengomel. Syahir hanya mengangguk mengikutkan sahaja kehendak Azim, namun matanya tak pernah terlepas dari memandang raut wajah gadis tersebut. Kalah Arianna Rose mahupun Accapan. Kalaulah dia sedikit berani.. kalaulah kan? Mereka mula bergerak, namun belum sampai 5 minit suratkhabar yang dipakainya sudah koyak rabak. Boleh la diandaikan dirinya ketika itu seperti Abang Bonceng Berkolaj! #$%^&!


**********


"Bila boleh siap taukeh?", tanya Syahir. Dahinya berkerut menahan panas mentari.

"Lusa boleh? Lusa you datang ambil", ujar pemilik bengkel tersebut. Syahir hanya mengangguk. Dia mendail nombor pada telefon bimbitnya. "Azim kau datang ambil aku kat bengkel depan sekolah sekarang. Kang kita singgah makan cendol"

Tanpa janji-janji semanis cendol, ada kemungkinan dua jam lagi baru si Azim sampai. Sementara itu dia menapak menuju ke perhentian bas. Sesekali dia memerhati dari luar pagar sekolah, kelihatan pelajar-pelajar sedang berlatih untuk acara sukan.. anggapannya sahaja sebab dia biasa buat begitu sewaktu sekolah dahulu. Dalam cuaca panas terik sebegitu, mereka masih boleh lagi berlari-lari keliling padang. Boleh diibaratkan seperti sekumpulan unta dalam acara sukan tahunan sekolah. Hebat!

Sedang dia berjalan, tiba-tiba sebuah bas melepasinya dan berhenti di hentian 100 meter di hadapannya. Syahir juga kini bertukar menjadi unta.. terpaksalah dia berlari untuk mendapatkan bas tersebut walaupun tekaknya hampir kering ketika itu. Hampir sahaja dia merapati bas tersebut.. bas itu pun mula bergerak. Dia termengah-mengah dan segera mendapatkan bangku menunggu. Sewaktu itu dia terpandang raut wajah yang sama pada cermin tingkap. Gadis itu memandang dengan senyuman.

"Gadis semalam!", getus hati kecilnya. Semakin lama bas bergerak semakin jauh, membawa 'hatinya' bersama-sama. Dia menyesal tidak menjadi unta yang cergas. Kalaulah dari kecil dia minum Milo sudah tentu dia dapat mengejar bas seperti dalam iklan. Kasutnya juga memainkan peranan. Kalau lah dia ada kasut Adidas sudah tentu harapannya untuk mengenali gadis itu bertambah cerah. Ini tidak, bukan kasut Adidas yang dipakainya.. tetapi Adibas! Taiwan mari. Terpaksalah tunggu satu-satunya harapan yang dia ada setakat ini.. Azim.

Di rumah..

"Warghhh mak tak nak mak.. Ayim janji takkan buat lagi grr kroiihh", Azim menjerit-jerit sendirian di bilik, cuma kali ini matanya terlelap. Entah berapa banyak mesej dan panggilan masuk daripada Syahir, dia sendiri tidak sedar. Yang dia nampak ketika itu hanyalah kelibat emaknya dalam mimpi, sedang berlari-lari mengejarnya dengan memikul balak. Pikul balak? Ala nama pun mimpi.. mana ada logik pun.

Mimpinya akan bertukar logik juga nanti, tapi tunggulah hingga Syahir pulang. Waktu itu ada harapan Syahir kejarnya dengan tong gas!


**********

"You tunggu sikijap boleh?", ujar taukeh kedai motor. Syahir yang sedari tadi berdiri, kini berasa penat. Ingin saja dia mencangkung tapi dengan baju kemeja bertali leher.. kaedah mencangkung tidak sesuai dilakukan ketika itu. Lagipun seluarnya ketat, boleh putus nafasnya kalau dia berbuat demikian. Nak telefon Azim rasa serba salah pula, takut pisang berbuah-buah lagi. Lagipun mana dia ingat nombor Azim dan kawan-kawan rumahnya yang lain.. telefon bimbitnya tertinggal. Syahir mengeluh. Taukeh kedai janji yang motornya siap dalam setengah jam lagi. Sementara itu dia bergerak ke perhentian bas.

Dari jauh dia perasan, dalam banyak-banyak orang yang menunggu di situ ada seorang gadis yang menarik perhatiannya sejak kelmarin lagi. Dia menyorok di balik pokok, memperbetulkan tali lehernya, rambutnya dan kedudukan cawatnya. Bila semuanya kemas dan selesa, dia kembali bergerak menghampiri hetian bas tersebut. Dari seorang ke seorang pelajar hilang daripada pandangan, dia rasa kali ini peluang untuknya ada. Dia melintasi gadis tersebut tetapi gadis tersebut tidak perasan. Gadis tersebut kelihatan kusyuk membaca novel Sayang Cikgu Ketat-Ketat. Syahir mencari tempat duduk. Kini tinggal mereka berdua di situ.

"Err panas ye hari ini", Syahir tersipu-sipu malu, sengaja dia memandang ke sisi lain kerana tidak mahu melihat reaksi gadis tersebut.

"Haah paneh la jugok. Ko nak air? Nak sirap ke.. air tin?"

Syahir tersentak. Kasarnya suara. Sementelah dia berpaling, dia melihat seorang lelaki kusut masai berada di sebelahnya. Lelaki itu menghulurkan sisa air sirap yang dikutip di dalam tong sampah berhampiran, tersengih memandangnya menampakkan baris gigi yang jarang. Jarang-jarang dia dapat senyuman maut macamtu. Kalau selalu dapat dia bimbang akan mengidap demam kura! Senyuman Syahir jadi tawar.

"Hai wak", tiba-tiba suara gadis mengetuk gegendang telinganya. Senyuman Syahir mekar kembali.

"Ye saya.. Awak panggil saya?", Syahir memperbetulkan duduknya, kakinya rapat manakala tangannya pantas menyisir rambut. Dia mengalihkan pandangan ke arah gadis tersebut. Gadis tersebut tergelak kecil sementara di telinganya terlekap telefon bimbit.

Syahir sekali lagi berpaling, melemparkan pandangannya jauh-jauh. Mukanya merah menahan malu, bagaimana dia boleh terfikir yang gadis tersebut akan menyapanya. Dia bingkas bangun dan merapati tiang di sisi jalan, memerhatikan kereta yang tak putus-putus bergerak. Sesekali dia menghela nafas panjang dan tersenyum sendirian. Bodohnya dia kerana mengharap pada sesuatu yang tak pasti.

"Assalamualaikum awak.."

Syahir menangkap suara yang sama, menyapa pada siapa.. dia sendiri tidak tahu. Nak ditoleh, takut merah padam lagi mukanya.

"Awak yang hari tu naik motor dengan baju suratkhabar kan?", tegur suara kecil itu. Jantung Syahir berdegup pantas. Ye ye dialah orangnya. Dia pasti yang gadis itu menyapanya. Syahir memalingkan mukanya perlahan-lahan lagak model iklan layaknya.

"Ye sayalah orangnya", ujar Syahir yakin, seyakin bangunan Wisma Yakin di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Gadis tersebut menekup mulutnya, terdengar gelak tawa kecil disebaliknya. Syahir mengetap bibir, dia tahu yang gadis itu mentertawakan perilakunya tempohari.

"Awak jangan ambil hati ye. Kelakar sangat, jarang dah kat KL ni orang redah hujan pakai suratkhabar", ujar gadis tersebut sambil tertawa. Syahir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mereka berborak panjang. Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Syuhada. Sedap namanya. Waima letaklah nama Karim sekalipun, tetap sedap dan ayu kalau tuan empunya badannya adalah gadis tersebut.

Dia merupakan cikgu di sekolah yang mana murid-muridnya Syahir panggil unta. Dalam tempoh sesingkat itu, Syahir rasakan ianya begitu berharga. Lebih berharga dari Kimbab kegemarannya.. apatahlagi burger Abang Burn. Semua ditepisnya mentah-mentah. Kalau boleh mahu sahaja dia berada di situ sampai petang, berbual panjang dan mengenali Syuhada dengan lebih dekat. Tetapi apakan daya bas yang ditunggu Syuhada sudah tiba.. betul-betul berhenti di hadapannya. Syahir pun pasti yang pemandu bas tersebut juga cukup kenal dengan guru tingkatan satu itu.

"Err cikgu, bila agaknya kita boleh berborak panjang lagi?", ujar Syahir sewaktu melihat Syuhada mula berdiri dan memperbetulkan baju kurung lemak ketamnya itu. Syuhada memandang dan tersenyum.

"Sabtu ni hari sukan sekolah kami, awak datanglah time tu", ujar Syuhada memberi harapan kepada Syahir.

"Err.. err", suara Syahir terputus-putus. Nak diluah mati emak, nak ditelan mati bapak. Kalau dicakap, takut hilang peluang yang ada. Dia melihat Syuhada seolah-olah menunggu ayat yang ingin dia ucapkan.. tapi Syahir tahu masanya semakin suntuk. Syuhada akan menaiki bas tersebut bila-bila masa sahaja.

"Cikgu.. boleh saya dapatkan nombor telefon cikgu. Err.. err bukan apa kot-kot saya nak tanya pasal soalan sejarah adik saya ke nanti. Boleh la rujuk cikgu", entah apa punya alasan dia berikan. Itu sahaja yang terlintas di kotak fikirannya yang berserabut. Daripada alasan yang diberikannya sudah dia jangkakan Syuhada akan tertawa dan pergi.


"Awak bawa phone? Pen?", tiba-tiba darah Syahir berderau sekali lagi. Telefon bimbitnya di rumah. Pen? Kapur papan hitam? Kaler Buncho? Marker pen? Mana ada semuanya. Habis diseluk poketnya depan belakang berkali-kali walaupun dia sendiri tahu dia tidak memilikinya. Dia rasa bersalah membuatkan cikgu tersebut menunggu.. apatahlagi abang pemandu bas tersebut yang mula membuat muka makan kaki.

Dalam dia sibuk meraba-raba sekeliling, tiba-tiba tangan kirinya merasai sesuatu di celah-celah bangku menunggu.. Dikaisnya dan lantas diberikan kepada Syuhada. Syuhada menulis sesuatu dan kertas bertukar tangan.

"Ingat ye tanya soalan sejarah saja tau", cikgu tersebut berseloroh. Syahir tersenyum puas. Kini dia ditinggalkan sendirian, bersamanya sekeping kertas bernombor telefon dan sebatang pensel kontot yang pernah dimilikinya dulu. Macam itulah ceritanya. Tamat.


**********

"Ni cerita pasal papa ngan mama ke?", ujar anak kecil dalam lingkungan 4 tahun itu. Lelaki yang berada di sisi anak kecil tersebut tersenyum. Dia memandang pada almari kaca tidaik jauh di hadapannya. Di sana terdapat pelbagai jenis hadiah yang diterima isterinya beberapa tahun kebelakangan ini.

Semuanya istimewa, cuma terdapat satu lebih dia hargai iaitu pensil kontot yang diletakkannya di para paling atas bersebelahan gambar isterinya. Mungkin suatu masa dahulu dia beranggapan pensil tersebut tidak mampu meneruskan perkhidmatannya di atas kertas kerja, tetapi siapa sangka yang pensil itu kembali memberi khidmatnya di atas cebisan kertas yang menyatukan mereka berdua menjadi sebuah keluarga dan dikurniakan anak kecil yang berada di sisinya.

Fin.




Copyright © afzalsukasuki Designed by azhafizah.com