kisah hantu

Perasaan Atau Peluang : Apa Pilihan Kita?

10:56 AM


Bismillah,

Kawan aku dapat panggilan temuduga untuk jawatan yang sama sekarang tetapi di institusi lain. Penempatannya di Melaka. Lepas dapat tau penempatannya jauh dari rumah, dia cadang tak nak pegi. Kalau la penjawatan tu boleh main pass pass macam tu je, nak je aku minta dia pass kan jawatan tu kat aku. Ye la bukan jauh mana dengan kampung abah aku.

Aku terus Google institusi tersebut. Deng!


Skrol dari atas sampai ke bawah rata-rata semuanya bercerita tentang ke-angkeran institusi tersebut. Rasuk, histeria, penampakan semuanya aku hadam satu persatu ceritanya. Bukan setakat buah mulut pelajar semata, dah jadi tajuk akhbar dah pun!

Dalam satu artikel blog ni, aku ada terbaca status abang sado ni. Dia mampu buat entiti-entiti yang ditemuinya terberak terkencing. Untuk pengetahuan, khas untuk entiti sahaja ye.. tidak berhasil kepada mereka yang mengalami masalah sembelit dan kencing tak lawas. Tapi pada aku, tidak perlu nak angkuh pun untuk buktikan diri hebat kan?


Punyalah bersemangat nak mohon penjawatan tu tadi, tetiba tawar hati plak.

Kalau korang diberi pilihan la kan, korang terima atau tak tawaran macam ni? Perasaan atau peluang kerjaya.. mana satu pilihan korang?


P/s : Sepatutnya aku nak buat cerita hantu hari ni. Lain kali la ye

aiskrim pasu

Dari Kajang Ke Padang Besar : Part 2

11:52 AM


Dari Kajang Ke Padang Besar : Part 1

Bismillah,

Kami bangun awal pagi hari Jumaat. Cuaca malam tadi sejuk, tak seperti cuaca tengahari.. panas. Berjeruk tilam dan bantal dengan peluh. Tapi alhamdulillah cuaca panas tu tak membawa ke tengah malam. Aku kasihankan anak aku je, dah la dia kuat berpeluh.

Selesai solat Subuh kami mula bersiap untuk meneruskan aktiviti yang dirancang. Hari ni terpaksa bertolak keluar awal lagi kerana rata-rata orang mengatakan petak parkir amat terhad di Padang Besar. Kami keluar rumah pada pukul 7.50 pagi. Keluar mencari sarapan terlebih dahulu.

Cantik suasana kampung waktu pagi. Jalan lengang, tak banyak kenderaan pada hari-hari cuti seperti itu. Aku dapat lihat sawah padi, bukit-bukau secara langsung di depan mata, ladang tebu dan macam-macam lagi yang tak dapat aku lihat di bandaraya Kuala Lumpur.


Jarak dari Mata Ayer ke Padang Besar aku anggarkan dalam 17 hingga 20 kilometer. Aku jadikan aplikasi Waze sebagai panduan. Waze banyak menyelamatkan keadaan kami di sana hehe. Kami tiba di Padang Besar seawal 8.30 pagi dan mula mencari tempat untuk sarapan pagi.

Kami berhenti di sebuah restoran di hadapan lampu isyarat simpang empat di Padang Besar. Restoran itu menyajikan pelbagai juadah sarapan pagi antaranya nasi berlauk, nasi kerabu, pulut kuning, nasi lemak dan rata-ratanya berat-berat belaka. Keistimewaan restoran ini, ia juga menyajikan menu Pulut Ayam. Kawan aku ada mencadangkan agar aku cuba menu ini bila tiba di sini. Sebab terlalu banyak menu, jadi kami ambil menu berlainan setiap orang. Boleh kami rasa seorang sedikit.


Pertama kali aku rasa Pulut Ayam, aku nekad yang aku akan minta puan isteri buat bila tiba di Kuala Lumpur nanti. Sedap sangat, macam tak percaya pula bila hendak dibandingkan dengan rupanya. Rahsianya pada kuah pencicah khas, ayam tersebut yang digoreng berempah dan pulutnya yang tak terlalu keras.. dan tak pula terlalu peroi. Nasi lemaknya juga sedap kerana sambalnya. Tak sangka pula rezeki kami dapat cuba menu dan makanan yang sedap dan menarik di restoran itu.

Untuk 7 orang makan dengan rata-ratanya mengambil nasi lemak ayam berempah, nasi kerabu ayam berempah, pulut ayam beserta air.. harga yang dicaj hanya RM40. Aku rasa cukup berbaloi dan puas hati kerana makanannya sedap.

Selesai makan, kami mula bergerak ke destinasi. Aku ingatkan apabila tiba di roundabout Padang Besar, ambil susur keluar ke 3 (jam 3) untuk menuju ke Arked Bebas Cukai Padang Besar. Kesilapan aku apabila aku mengambil susur pertama (jam 11) di mana susur itu membawa aku ke Hatyai! Nak undur memang tak boleh, terpaksa berdepan dengan pos kastam.


Nasib la abang kastam tu baik, dia minta aku pusing balik di hadapan. Bila aku nak keluar, kena tahan lagi sebab pegawai bertugas nak buat pemeriksaan. Aku hanya maklumkan yang aku salah masuk. Dia pun tunjukkan arah yang betul.

Bila aku tiba, jam menunjukkan pukul 9 pagi dan arked Padang Besar belum pun mula beroperasi. Duduk la kami menunggu sampai pukul 10 pagi. Mak aku dari pukul 9 hingga pukul 10 pagi asyik ajak kami jalan, tengok-tengokkan kot-kot kedai di situ dah ada yang buka. Untungnya datang awal ni, petak parkir banyak yang kosong. Tak perlu berebut-rebut atau menunggu.

Aku tetapkan baudget untuk berbelanja. Rata-rata harganya sama sahaja dengan kedai-kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman atau di Chowkit, cuma di sana lebih banyak pilihan. Antaranya jersey, pakaian wanita, beg, beg tangan, barang perhiasan, t-shirt, barangan kulit, alat permainan, makanan ringan dan macam-macam lagi. Walaupun harga sedikit mahal, tapi bila dah menjejak kaki ke tempat orang.. semangat nak berbelanja mesti ada.


Aku beli baju, beli baju anak dan isteri, beli helmet untuk isteri aku, kerepek-kerepek, buah limau gedang dan periuk ajaib. Periuk ajaib jenama DESSINI ITALY saiz 32cm harga RM75. Kat FB aku tengok orang jual sampai RM110 hingga RM140. Kalau tau aku beli lebih sebab kawan-kawan ofis aku pun berminat. Aku ambil untung RM10 hingga RM15 pun dah cukup.

Aku sempat juga beli pes tomyam dan sos untuk buat pulut ayam. Murah.. RM10 untuk 3 botol. 1 botol tu boleh bancuh dengan air sebab terlalu pekat. Itu pun habis RM300. tak banyak mana kan? Mak aku habis RM1000 huhu. Apa dia beli pun aku tak tau.

Sebelum balik aku sempat singgah di bahagian booth seberang arked Padang Besar. Barang jualannya sama sahaja cuma yang menariknya di situ ada aiskrim pasu. Punyalah jauh dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, beli aiskrim pasu je adik aku ni? Bila aku rasa, takde apa yang menarik pun. Rasa aiskrim Walls dan biskut oreo sahaja.


Sebelum aku balik ke homestay, mak aku ajak makan di Anjung Keli lagi tapi punah harapan sebab ia tutup pada hari Jumaat. Kitorang pun makan di gerai sebelah, Restoran Nasi Ayam. Boleh tahan juga rasanya walaupun menunya mudah.

Aku kembali ke homestay pada pukul 4 petang. Badan pun dah berlengas, kepala pun dah panas. Kami perlukan rehat yang mencukupi sebab malam nanti nak keluar cari makan lagi..

Bersambung..

cuti-cuti Malaysia

Dari Kajang Ke Padang Besar : Part 1

3:03 PM


Bismillah,

Raya Cina bukan sahaja disambut oleh kaum cina tetapi juga pelepasan untuk semua kaum di Malaysia. Di kesempatan yang ada ini, menjadikan walimah sepupu sebagai penguat alasan.. aku dan keluarga meletakkan Perlis sebagai hala tuju percutian kami kali ini.

Ini merupakan kali kedua aku menjejakkan kaki ke negeri Perlis Darul Sunnah. Kami tiga keluarga bertolak dari Kajang seawal pukul 3 pagi pada 19 Mac 2015, berharap dapat mengelakkan kesesakan jalan raya akibat cuti perayaan.


Pukul 3 pagi bergerak menuju ke Utara pada awalnya lancar tetapi trafik mula perlahan bila tiba di Sungkai sehingga Hentian RTC, Sg. Perak. Kami berhenti untuk solat Subuh terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Aku sangka dengan bertolak seawal 3 pagi boleh elak kesesakan jalanraya.. tapi tak juga.


Aku sempat melihat suasana bukit yang berkabus pada awal pagi kerana cuaca hujan di sepanjang perjalanan tersebut. Jasmeen pun hanya tido di sepanjang perjalanan, hanya sesekali terbangun mencari susunya. Tugas mengambil gambar aku serahkan kepada Acu memandangkan aku terpaksa memandu. Puan isteri rabun dan dia pun penat menyiapkan barang-barang sebelum bertolak tadi. Aku takde masalah asalkan ada kopi o kaw dan gula-gula lollipop.


Sepanjang perjalanan tu kami berhenti rehat 2 hingga 3 kali sebelum tiba di Mata Ayer, Perlis pada pukul 12 tengahari. Memandangkan kami check in homestay pada pukul 2 petang, aku membawa keluarga mencari lokasi untuk makan tengahari.

Aku memilih Anjung Keli sebagaimana yang dicadangkan oleh blogger-blogger makanan. Ada yang kata harganya agak mahal. Pada aku harganya berpatutan, sama sahaja harganya kalau hendak dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Tengok juga menu apa yang diambil. Nama restoran sahaja Anjung Keli tapi ada pelbagai menu lain lagi selain ikan keli.



01000 Kangar, Perlis, Malaysia
019-443 3384

Apa yang menariknya tentang restoran ini, dia menyediakan berpuluh-puluh jenis lauk kampung, berbagai jenis ulam-ulaman dan ada jenis sambal belacan contohnya sambal belacan biasa, sambal belacan tempoyak, sambal belacan belimbing dan lain-lain lagi. Pengunjung jangan cakap, tak putus-putus.

Untuk 7 orang makan beserta air dengan rata-ratanya mengambil ikan dan ayam, ulam-ulaman, sayur.. harga yang perlu kami bayar hanya RM60++. Jadi tak mahal mana. Tapi jika hendak dibandingkan dengan harga kawasan itu yang rata-ratanya penduduk kampung, mungkin agak mahal bagi mereka.

Seusai makan tengahari, kami balik ke homestay. Badan pun dah penat, kepala aku pun hanya nampak bantal je. Aku kena recharge tenaga balik sebab esok kami ada misi lain..

Bersambung..

kisah suami isteri

Lawak Puan Isteri

5:22 PM

Bismillah,

Sejak dua menjak ni isteri aku suka buat lawak, dalam keadaan aku sedar atau pun tidak. Kalau aku sedar, aku akan gelak walaupun lawak tahap biasa-biasa. Bukan lawak peringkat zon atau daerah. Aku gelak bagi semangat agar dia boleh terus menghasilkan lawak-lawak yang bisa memutuskan urat kentut aku.

Kadang-kadang dalam aku tak sedar contohnya bila tengok berita, dia bercakap sensorang. At last baru aku tau dia tengah melawak dengan aku rupanya. Rasa bersalah sebab tak gelak satu.. rasa bersalah sebab tak faham pun ada.

Ke sebab lawak-lawak isteri zaman sekarang memerlukan sel-sel otak suami berhubung terlebih dahulu? Atau adakah lawak puan isteri sudah mencapai tahap lawak-lawak di kalangan cendekiawan? Lawak yang memerlukan buku-buku tebal sebagai sumber rujukan?


Bagi aku untuk mengelakkan rasa bersalah, aku suruh dia ulang lawak tu balik. Sekurang-kurangnya aku boleh cuba gelak balik tapi kali ini dengan lebih ikhlas dan lebih kuat.

Tak kelakar belakang kira, janji bagi semangat.. itu yang penting. Kata suami.. kena la support isteri :) Tak gitu?

isteri manja

Isteri Dengan Fiil Manja

11:15 AM


Bismillah,

Masa umur aku 12 tahun, aku balik kampung beraya. Biasa la bila beraya ni, saudara mara jauh dekat datang bertandang sampai aku tak kenal mana satu saudara, mana satu jiran dan mana satu orang baca meter air ehh?

Aku duduk kat tangga rumah. Mata aku memerhatikan sepasang pasangan ni, anggaran lewat 20 an. Si isteri duduk di sisi suami sambil sesekali menyuap lontong ke mulut suaminya. Alahai sweetnya!

Aku tekad, aku nak cari isteri macam tu. Sweet, manja macam kucing. Aku tak putus-putus berdoa, intipati utama dalam doa aku tu mesti aku selitkan ciri-ciri isteri yang aku mahukan tu.

Alhamdulillah 2 tahun lepas aku dikurniakan seorang isteri. Baik, manja.. sweet macam gula-gula kapas. Dia suka melekap kat ketiak aku. Alahai seronoknya rasa.



Tahun pertama..

Tahun kedua..

Masuk tahun ketiga..

.. masih lagi kat bawah ketiak aku. Tak tercocok plak bulu ketiak aku kat mata dia kan?

Dek terkenankan fiil manjanya tu, anak aku si Jasmeen plak skarang suka bergantung kat kaki aku. Nah sekarang aku rasa dah macam ampaian pun ada. Nasib la dorang manja je.. acane kalau tetiba berbulu macam kucing? Haa acane tu?

Manja terlebih boleh mengakibatkan gout atau lebih teruk lagi boleh menyebabkan kencing berbuih teh tarik - faktasukasuki


P/s : wanita manja ni sebab terlebih telan manjakani ke hape? :P

free screening

Tayangan PERCUMA di IOI City Mall

10:23 AM


Bismillah,

Kalau korang berkelapangan, apa kata korang pergi menonton wayang di IOI City Mall yang terletak di Putrajaya (betul-betul di hadapan hospital Serdang) dan yang menariknya tiket diberi PERCUMA!

Promosi ini bersempena dengan perasmian pembukaan cawangan GSC di IOI City Mall pada 12 Februari 2015. Cetak kupon yang aku sertakan di bawah ni untuk menebus dua keping tiket. Setiap seorang boleh menebus maksimum 4 keping tiket.

Tiket hendaklah ditebus pada hari yang sama pada tarikh tayangan. Kaunter dibuka seawal 10 pagi dan siapa cepat dia dapat! Korang boleh cetak kupon dan jadual tayangan yang aku sertakan di bawah. Selamat menonton!



GPS : 2°58'16.90"N 101°42'39.25"E

buka cawangan kedai

Buka Cawangan

4:26 PM


Bismillah,

Aku ada seorang jiran, baru je berpindah rumah. Kenalan mak aku. Dia ada meniaga pakaian, tak pasti pakaian apa. Mungkin wanita la kot. Apa yang aku tau kedai dia tak jauh daripada taman perumahan kami.

Mak aku kata.. bisnes dia berkembang pesat, maju dan membangun.

"Bisnes Kak Lin dah maju sekarang ni"

"Oo.. yeke mak?", sahut puan isteri sedikit teruja.

"Yela, dia dah buka cawangan lain. Kat Indon", sambung mak aku lagi.


Aku fikir kalau dah sampai ke luar negara tu, bukan tahap cikai-cikai punya bisnes tu. Tapi yang peliknya kedai dia baru je buka, tapi dah buka satu lagi cawangan di Indonesia?

Aku pun tanya dengan lebih terperinci. Mana tau ada peluang join venture.

"Eh bukan buka cawangan kat Indonesia tuu.."

"Laa abis tu?"

"Kat sederet kedai Indon kat depan jalan besar tu", tergagap-gagap mak aku jawab.

Adeh omak punya gaya bahasa kalau dibiarkan boleh kena kencing tikus kami anak beranak!