Kenapa Ia Bukan Hak Kita


Bismillah,

SITUASI (1)
Ada seorang lelaki tergesa-gesa untuk mengisi minyak. Ibunya baru sahaja dimasukkan ke hospital, situasinya masih samar dan doktor masih menjalankan rawatan. Adik beradik. saudara mara terdekat semua sedang menanti berita di lobi hospital. Panggilan masuk ke telefonnya tidak berhenti sedari tadi bertanyakan status lokasi. Tapi malangnya kreditnya habis

SITUASI (2)
Seorang bapa baru menongkat honda C70 lamanya di hadapan sebuah bank di pinggir bandar. Mesej daripada anaknya masih ada disimpan. Bayaran yuran hendaklah dijelaskan sebelum esok pagi. Nak tak nak si bapa terpaksa juga keluar dinihari walaupun kesihatannya tidak membenarkan dia berbuat begitu.

SITUASI (3)
Seorang budak perempuan berlari-lari menghampiri sebuah kedai. Di tangannya menggenggam erat nota beserta duit yang dipesan ibunya. Adiknya yang masih kecil sedari malam tadi menangis kelaparan susu. Alhamdulillah syukur pagi tadi, ibunya berjaya meminjam sejumlah wang daripada jiran sebelah rumahnya.

SITUASI (4)
Wanita itu tersenyum tatkala teringat raut anaknya sebentar tadi. Selama ini mereka hanya menelan air liur setiap kali iklan di kaca televisyen dimainkan. "Kalau abang lulus periksa, ibu belikan abang KFC ye" Itu janji dia kepada anaknya. Anak-anak yang lain tumpang gembira, ye lah bukan selalu mereka dapat makan ayam.. inikan pula KFC

SITUASI (5)
Anak lelaki tersebut keluar mencari farmasi. Dada ayahnya dari tadi berombak dan nafasnya semakin pendek. Kasihan melihatkan ayahnya itu dia mengorek tabungannya untuk mencari ubat lelah. Padahal dia tau dia juga sangat memerlukan duit itu untuk membayar kos kerja kursusnya. Tapi dia tahu pada saat itu.. ayahnya lebih memerlukan.


Tetapi kita pula ternampak sejumlah wang tercicir di atas jalan dan claim itu rezeki kita. Kita tak rasa apa-apa kerana ketika itu tak terlintas langsung pun apa yang mereka rasa. Kita tak peduli kerana kita tak dengar tangisan bayi kelaparan atau anak yang menanti penuh harapan

Jadi masuklah ia ke dalam perut, menghasilkan daging dan darah dari kepayahan dan kesedihan orang lain. Badan dan hati mula berubah sakit dan percayalah waima bersusun wang di hadapan kita pun tak akan cukup untuk menjadikan kita kembali kepada yang asal.

Kita terlalu mengambil mudah tanpa memikirkan ada segelintir orang yang terus mencari alasan untuk cuba meneruskan hidup.

Juga kata dua buat diri aku sendiri, bukan semua rezeki Allah itu milik kita.

5 Comments

  1. Betul. Bukan semua rezeki Allah itu milik kita. Kita kena bersyukur dengan setiap ap yang kita miliki. Alhamdulillah di atas setiap rezeki yang engkau berikan.

    ReplyDelete
  2. setuju...bukan semuanya kita punya...

    ReplyDelete
  3. saya setuju...
    setiap rezeki pada kita, terdapat juga bahagian orang lain...
    sebab tu kita kena sentiasa bersyukur...

    ReplyDelete
  4. sebahagian drp ujian hidup.. apa yang diingini selalunya sukar utk dimiliki. Sesuatu yg mudah dimiliki tidak pula kita pandai menghargai ;(

    ReplyDelete
  5. ye, betul tu..rezeki ni luas dan masing masing ada rezeki masing masing. bersyukur dan ingatlah..semua hanya pinjaman :)

    ReplyDelete