Kembara 50 Tahun FELCRA Bersama Media


Bismillah,

FELCRA atau nama lainnya Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan telah ditubuhkan pada tahun 1966. Matlamatnya ialah untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduk-penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara Malaysia dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka.



Mulai 1 September 1997, semasa dikorporatkan, FELCRA telah ditukar nama kepada FELCRA Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh Kerajaan. Penukaran entiti korporat ini membolehkan FELCRA Berhad menyusuri bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi pembangunan nasional. 


Jadi bersempena dengan 50 tahun penubuhannya tahun ini, FELCRA Berhad telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada media berkenaan fungsi, tugas dan kejayaan yang dikecapi mereka selama ini. 

Aku bersama rakan media Hai Blogger! telah dipanggil bersama media lain untuk mengikuti Kembara 50 Tahun FELCRA Bersama Media ke Kampung Lekir yang kini telah dikenali sebagai Kampung Aman Jaya sebagai destinasi pilihan FELCRA Berhad


Rombongan kami telah disambut dengan paluan kompang dan penuh mesra oleh penduduk kampung selain disajikan dengan buah buahan tempatan seperti duku, rambutan dan durian. Dalam masa yang sama, kami mendengar kisah awal penubuhan dan sejarah penubuhan Kampung Lekir bersama FELCRA Berhad oleh generasi pertama kampung tersebut. Banyak jerih perih yang dihadapi mereka sebelum mencapai apa yang mereka perolehi sekarang. 



Seterusnya pada sebelah malamnya kami menghadiri Networking Dinner Bersama FELCRA BERHAD yang dihadiri oleh Pengerusi FELCRA Berhad iaitu YB Bung Mokhtar. Makan malam pada malam itu lebih santai dan lebih menjurus untuk merapatkan hubungan di antara media dan kakitangan FELCRA Berhad itu sendiri. 


Pada hari kedua, kami telah dibawa ke Seberang Perak untuk meninjau pusat komersil pembenihan padi. Selama ini kita terlepas pandang kerana FELCRA Berhad di Seberang Perak mempunyai kawasan penanaman padi terbesar di dalam negara yang meliputi kawasan sebesar 80 000 hektar. Teknik pembenihan yang mereka laksanakan juga bukan lagi secara manual malah teknik pembenihan menggunakan GyroCopter atau GyroPlane telah pun digunakan. 


Seterusnya kami dibawa untuk meninjau projek perumahan generasi ke-2 FELCRA Berhad yang mana susun atur dan bentuk binaannya lebih teratur, tersusun dan lebih moden. Berkeluasan 1600 kaki persegi dan dilengkapi dengan 3 atau 4 bilik tidur 2 bilik air, ia dijual pada harga sekitar RM50 000 sehingga RM133 000 bergantung kepada jenis rumah yang disediakan. 

Melalui FELCRA Berhad juga, koperasi telah berjaya dibangunkan dan banyak produk yang dihasilkan FELCRA Berhad telah mendapat tempat di pasaran tempatan. Di perkampungan milik FELCRA Berhad kami dapat lihat stesen minyak milik FELCRA Berhad. Itu kali pertama aku lihat dan aku boleh gambarkan betapa jauhnya pencapaian yang dikecapi oleh FELCRA Berhad selama 50 tahun ini. 


Selama 50 tahun ini, telah banyak pencapaian yang telah dikecapi mahupun dihasilkan FELCRA Berhad untuk menjamin kesejahteraan kepada kepada 100 000 ahlinya. Kita sering melihat kejayaan FELDA sehingga terlupa yang FELCRA Berhad juga antara badan berkanun yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. 

2 Comments