Pengalaman Kejadian Misteri di Lebuhraya LEKAS


Bismillah,

Aku dalam perjalanan untuk ambil Jasmeen di rumah orang tua aku. Mata aku sedikit kuyu sebelum isteri aku membuka cerita tentang kejadian aneh yang dikongsikan kawannya di muka buku.


"Kawan ayang kongsikan kisah seram bang, pasal highway LEKAS. Nanti abang baca ye KAT SINI", ujar puan isteri. Sedang elok kami pula baru keluar dari Tol LEKAS menuju ke Sungai Ramal.

"Kisah pasal apa tu?", tanya aku selamba.

"Pasal GPS berhantu", jawab puan isteri. Dengan tiba-tiba bulu tengkuk aku meremang. Aku senyap biarkan masa berlalu seketika.

"Sebenarnya abang pun ada cerita pasal LEKAS. Apa yang ayang bagitau tadi, abang dah lalui semalam.."

Terkedu puan isteri..

**********

Aku tak pasti kenapa atau bagaimana ia boleh berlaku, tetapi itulah yang berlaku pada aku kelmarin. Aku dalam perjalanan untuk ke satu lokasi review berbuka puasa di Negeri Sembilan. Kebiasaan sebelum memulakan perjalanan, aku akan baca doa (Bismillahillazi...) tetapi petang itu aku terlupa. Mungkin sebab rasa cukup selamat gamaknya. 

Jam pun dah menunjukkan pukul 6.15 petang. Janji untuk tiba pula dalam pukul 6.30 petang. Aku pun tak familiar dengan lokasi tujuan jadi harapan aku hanya pada GPS menggunakan aplikasi Waze. Bila aku buat carian, perjalanan paling hampir adalah menggunakan lebuhraya LEKAS iaitu 37 KM. Jadi bermula lah kisah aku dari sini.. 

Aku pandu perlahan. Kenderaan pun tak banyak mana. Kebiasaan sememangnya lebuhraya LEKAS tidak sesibuk jalan lain. Itu menyebabkan aku lebih gemar memilih LEKAS walaupun masih ada jalan lain yang lebih singkat. Sebaik sahaja aku melepasi tol Pajam, hati aku rasa berat. Tak tahu sebab apa seakan-akan aku salah masuk jalan. Aku serah seratus peratus pada GPS sebab aku betul-betul tak tau arah nak dituju. Matahari semakin menjunam, jam sudah menunjukkan pukul 6.40 petang. Aku dah lewat. 

Dari jalan bandar, beralih ke pekan dan pekan lebih kecil. Jalan juga semakin kecil dan lengang tapi lokasi nak dituju masih belum sampai. Aku ikutkan sahaja arah yang GPS berikan walaupun terpaksa menghadap jalan yang berliku dan berbatu kerikil. "Kat mana pulak la aku ni", getus hati aku apabila aplikasi Waze hilang isyarat. 

Aku bergerak perlahan-lahan dengan harapan isyarat pulih kembali. Alhamdulillah tak lama kemudian aku ditunjukkan kembali jalan. Aku mengikut arah GPS tanpa sebarang rasa ragu sehingga aku diarah menuju ke sebuah lorong kecil. Aku berhenti seketika. "Serius ke ni?

Jalan di hadapan aku seakan jalan motor, kecil dan tidak rata. Kiri dan kanan semak samun, tiada rumah mahupun penempatan. Tiada langsung kelibat orang sekeliling. Langit kian kemerah-merahan tanda senja bakal tiba. Rasa tak sedap hati semakin membuak. Sama ada ikut jalan lain atau ikut GPS. Aku berbelah bagi. 

Aku ambil keputusan untuk terus mengikut arah yang ditunjukkan GPS. Aku terus mengikut jalan kecil itu, semakin lama semakin kecil bersama gelapnya hari. Tiba-tiba aku perasan, bila diperhatikan betul-betul aku akhirnya tiba di kawasan tanah perkuburan Islam. Betul-betul di sebelah kiri jalan. Berderau darah sehingga ke muka. Aku tak tunggu lama terus tekan minyak mencari hujung jalan. Akhirnya aku sampai ke lokasi yang dituju 10 minit kemudian. 

**********

Seusai menyiapkan tugasan, aku kembali ke kereta. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Kawasan keliling gelap. Aku masih berbelah bagi untuk pilih jalan pulang. Ikut jalan yang sama atau ikut lebuhraya PLUS. Aku sedapkan hati yang tak akan ada apa-apa yang berlaku. Aku pilih laluan yang sama sepertimana aku tempuhi awal perjalanan tadi. Rasa macam tak nak balik pun ada. 

Aku baca doa, buka siap-siap CD bacaan Al Quran. Persiapan awal sebelum apa-apa berlaku sebab ini bukan tempat aku. Sepanjang perjalanan aku memerhatikan sekeliling. Menunggu masa untuk masuk ke simpang kecil ke kubur. Hati berdegup kencang. Cermin pandang belakang dah aku dongakkan tinggi awal-awal lagi. Belum bersedia andai kata ada 'sesuatu' memunculkan diri pada malam itu. 

Jalan punya jalan akhirnya aku tiba di selekoh Tol Pajam. Terkedu aku sekejap. Tak lalu kubur plak kali ni. Aku perhatikan jarak yang ditunjukkan Waze. 37 KM ke Kajang. Aku ingatkan kembali jalan-jalan yang aku lalui tadi, semuanya sama. Yang tak sama adalah aku tak lagi melalui lorong kecil ke tanah perkuburan Islam itu tadi. Tiada belukar, tiada jalan kerikil. Meremang lagi bulu tengkuk aku. 

Sepanjang perjalanan tiada apa-apa berlaku. Semakin jauh, perasaan itu semakin hilang dan ia muncul kembali bila puan isteri kembali mengingatkan aku tentang kejadian di LEKAS dan GPS. Rupa-rupanya dah banyak cerita telah dikongsikan oleh pengguna lebuhraya LEKAS cuma aku je yang tak tahu. 

Nasihat aku berhati-hatilah ye. Kalau kita alpa, dia mesti ada. 

19 Comments

  1. serius? biasa juga ikut LEKAS..nak lekas punya pasal.huhu

    ReplyDelete
  2. Malam jemahat plk akak baco cito ni jang oiii...aduyaiiii....dh la sensorang kek umah...huwaaaaa...makkkkk nak balik sombannnnnnn

    ReplyDelete
  3. Seram lagi misteri. Tiba2 aku pun terbayang apa yang kau lalui bro..

    ReplyDelete
  4. dah dua kali IQ baca jalan ceritanya sama. memang menyeramkan....

    ReplyDelete
  5. ermmm.. mujur selamat.. penah lalu dan benti kt rnr area situ.. sunyi sepi.. benti pon sebab baby yak dlm pempers.. memang tak boleh tahan dah bauu menusuk satu kereta.. terpaksa berenti.. tp seriusly time tu ptg dan yang ada cuma pekerja rnr je.. alhamdulillah xde pape.. serammm weiiiii

    perjalanan dari pd nak ke ceras.

    ReplyDelete
  6. waze pun berhantu gak ye..
    tp cite ni betul..rupanya ramai gak yg kena mcm ni
    tu yg hakak x percaya sgt dengan waze haha bukan sebab pasal waze berhantu..sbb dr dulu x reti pakai waze hihi

    ReplyDelete
  7. haaaaaa... ayok. tak baca doa lagi. Jgn takut. dia tiada kuasa

    ReplyDelete
  8. Pernah melalui benda yang sama di Terengganu, jadi dapat memahami perasaan gelisah masa lalu lorong kecil dalam kawasan tak dikenali terus masuk ke kawasan perkuburan masa tu. Cuma disebabkan kami beramai-ramai dalam kereta, jadi kurang seram sikit.

    ReplyDelete
  9. Ade mintak token x die dh dok tumpang? Hehe

    ReplyDelete
  10. aduhhhh.. ini seram! moral of the story make sure ada CD Quran dalam keta. Wajib!

    ReplyDelete
  11. Ada juga baca cerita psl gps berhantu tuh kt fiksyen shasha...x sgka awk plak lalui bnda yg sama...dh byk kali dnga psl citer seram melibatkan lekas nih..

    ReplyDelete
  12. Pertama, sebagai org islam jgn letakkan sesuatu harapan yg lebih tinggi melainkan harapan yg diletakkan ke atas Allah.
    Kedua,mungkin benda tu tumpang nak balik ke destinasi. Tiap kali perbuatan mulakan dgn doa

    ReplyDelete