Destinasi Dan Tempat Makan Menarik Di Sepanjang Jalan Persekutuan Ke Perlis


Bismillah,

Baru-baru ni aku berkesempatan mengikuti trip Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) di dalam FTRoadpedia Zon Utara bermula dari Selangor sehingga ke negeri Perlis melalui jalan persekutuan atau lebih dikenali sebagai jalan dalam bagi sesetengah masyarakat. Di dalam trip kali ini, aku teruja untuk kongsikan beberapa lokasi dan tempat makan menarik yang boleh jadi rujukan korang sekiranya melalui jalan persekutuan ini. Manalah tau korang boleh singgah jika menuju ke utara nanti kan?


Roti Mokhtar, Slim River
Kalau korang singgah di Slim River, korang boleh singgah dan beli roti Mokhtar yang dikenali oleh penduduk setempat di sini. Roti Mokhtar ini terkenal kerana ia diperbuat menggunakan kaedah lama dengan menggunakan dapur batu bata. Ia mula dijual seawal 11 pagi jadi kalau korang nak cuba merasai sendiri bagaimana rasanya roti Mokhtar ini, korang kenalah datang awal kerana roti ini pun tidak dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Korang boleh cuba roti krim, roti kacang merah dan roti kaya.


Mee Kari Ramli, Bidor
GPS (4.106483, 101.295312)

Apabila korang keluar Tol Bidor, ambil simpang ke kanan dan di situ terletaknya Mee Kari Ramli Bidor di bahu jalan. Mee Kari Ramli Bidor antara menu yang terkenal di Bidor yang mana kita boleh tentukan bahan apa yang kita mahukan di dalam mee kari kita. Bahan-bahannya terdiri daripada ramuan Yong Tau Fu. Bila bersebati dengan kuah karinya yang pekat, memang betul-betul menyelerakan.




Mee Hailam, Parit
GPS (4.476701, 100.908688)


Dipanggil Mee Hailam Parit kerana lokasinya terletak di Medan Selera Parit, Perak. Ok yang ni korang patut cuba. Mee Hailam dia kaw giler, pekat dan sangat sedap. Portion dia pun besar dan dihidangkan bersama sos istimewa. Korang boleh pilih sama ada nak daging atau ayam. Tapi kedua-duanya sedap. Pada aku untuk satu pinggan tu, boleh makan untuk dua orang. Mee Hailamnya simple saja tapi penuh dengan rasa dan kicap yang sedap.


Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Perak

Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar, Perak juga dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Ia merupakan masjid negeri dan dianggap sebagai salah satu masjid yang tercantik di Malaysia. Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada 1917.

Dikatakan masjid ini dibina kerana Sultan Idris (sultan Perak ke 28) telah bernazar sekiranya baginda pulih daripada penyakit yang dihidapinya, baginda akan membangunkan sebuah masjid. Masjid ini tak sebesar masjid lain tetapi stuktur binaan dan seni hiasannya sangat indah sehingga memukau perhatian pelancong-pelancong asing yang datang berkunjung ke sini. 

Mee Rebus, Parit Buntar

Aku sempat pekena sepinggan Mee Rebus sewaktu melalui Parit Buntar, Perak. Masa tu aku ke SMK Panglima Bukit Gantang. Mee Rebus ni seakan-akan mi Mee Bandung cuma bahan utama untuk membuat Mee Rebus adalah keledek.


Kuahnya pekat memang betul-betul menarik selera sesiapa sahaja. Di Parit Buntar ni ada banyak warung dan kedai makan yang menyediakan menu seumpama ini. Jadi kalau korang singgah di Parit Buntar jangan lupa pekena Mee Rebus ni ye.


Restoran Hotel Pen Mutiara, Pulau Pinang


Sebelum ini aku pernah diberitahu, jika aku nak makan makanan yang sedap dan lazat aku kena pergi ke Pen Mutiara Hotel. Bila aku ke sana, aku memesan beberapa jenis menu yang ada dan ternyata menu-menu yang disajikan benar-benar sedap. 


Antara menu-menu yang boleh menjadi pilihan korang adalah seperti Kari Kepala Ikan, Siakap Tiga Rasa, Kerabu Mangga, Sotong Celup Tepung, Udang Masak Sambal dan Telur Bistik. Kalau korang dah sampai ke Pulau Pinang ni, tak sah kalau korang tak cuba sendiri keenakan Kari Kepala Ikan. Memang terbaik!




Hotel Vistana, Pulau Pinang

Penat berjalan sehari suntuk, korang boleh lah menempah bilik di Hotel Vistana yang mana lokasinya tidak jauh daripada Pen Mutiara Hotel, Pulau Pinang. Harganya juga amat berpatutan pada harga serendah RM217.50 di Trivago. Kemudahan yang disediakan juga menarik dan keadaan bilik yang luas dan bersih.


Katil dan bantal juga empuk jadi malam tu aku dan kawan-kawan aku yang lain dapat tidur dengan nyenyak dan selesa. Korang juga boleh keluar makan kerana tak jauh daripada situ terdapat Restoran Nasi Kandar. Untuk sarapan pagi juga menarik kerana terdapat banyak menu yang boleh menjadi pilihan korang.


Jeruk Pak Ali, Pulau Pinang

Walaupun Jeruk Pak Ali membuka banyak cawangan di serata Malaysia, tetapi seperti menjadi satu kemestian asal datang ke Pulau Pinang mesti nak kena beli jeruk Pak Ali ni.

Menara Jam Besar, Sungai Petani

Menara Jam Besar ini terletak di Jalan Putera, Alor Setar Kedah. Ia dibina pada tahun 1912 dan kini usianya telah mencecah 105 tahun. Pembinaannya ada kaitan dengan Masjid Zahir yang berada tidak jauh dari situ kerana ia memberi kemudahan kepada orang ramai terutama bilal yang bertugas di masjid bagi menentukan masuknya waktu solat fardhu. 

Dahulunya jam di menara ini akan berbunyi beberapa kali setiap kali tiba waktu solat fardhu, diikuti dengan paluan nibat dan kemudian barulah azan akan berkumandang dari Masjid Zahir. Dalam masa yang sama sempat lagi aku pekena Kari Kepala Ikan. Kari Kepala Ikan di negeri utara ni memang berhantu la haha. 


Gunung Jerai, Daerah Yan Kedah

Sebelum berakhir hari kedua ni, kami singgah sebentar di kaki Gunung Jerai yang terletak di daerah Yan, Kedah. Kami tak berpeluang untuk naik ke atas kerana hari pun sudah lewat petang. Ia juga dikenali sebagai Puncak Kedah, berada di antara daerah Yan dan Kuala Muda. Ketinggiannya mencecah 3,854 kaki atau 1,175 meter. 


Sewaktu di kaki Gunung Jerai aku sempat merasai beberapa menu masyarakat setempat antaranya Laksa Teluk Kechai. Laksa ini berbeza dengan laksa yang biasa aku temui kerana sambal ikan dan kelapanya tidak dimasak sekali. Jadi untuk menikmati rasa sebenar, korang kena gaulkannya sekali. 


Lagi satu menu yang sempat aku rasa adalah pulut sambal. Pulut sambal yang biasa aku jumpa di Kuala Lumpur adalah pulut yang digaul sekali dengan sambal di bahagian luarnya. Tapi pulut sambal di Kedah ni ia dibungkus di dalam daun pisang. Ia juga tak dipanggang seperti pulut panggang. Namun ketiga-tiganya mempunyai rasa yang sama. 

Hotel Seri Malaysia, Kangar Perlis

Sekiranya korang berada di Kangar, Perlis korang boleh menempah bilik di Hotel Seri Malaysia kerana korang tak punyai banyak pilihan hotel di sekitar Perlis melainkan homestay ataupun motel. Tak perlu bandingkan hotel-hotel mewah yang lain, bagi aku Hotel Seri Malaysia ni pun dah cukup selesa untuk aku tidur selesa semalaman.


Harganya juga berpatutan sekitar RM160 semalaman beserta sarapan pagi. Ada tv lcd, aircond, seterika dan pemanas air. Jadi pada aku berpatutan lah dengan harga yang ditawarkannya di sana.


Empangan Timah Tasoh, Beseri
Empangan ini terletak di Jalan Kaki Bukit, Beseri Perlis kira-kira 17KM dari Padang Besar. Kalau korang nak adakan jamuan makan atau sebarang keraian, di sini terdapat Terinai Lake Cafe. Masa operasi Terinai Lake Cafe ini adalah :
  • Selasa - Jumaat : 4.00 petang - 1.00 pagi
  • Sabtu - Ahad : 1.00 petang - 1.00 pagi
  • Isnin - tutup
Korang boleh hubungi Encik Shafiq untuk sebarang tempahan atau pertanyaan lanjut. 



Nama empangan ini diambil sempena nama dan tempat pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Dikatakan empangan Timah Tasoh ini mempunyai kisah lagenda atau mitos penduduk tempatan yang mana dahulunya Sungai Timah dan Sungai Tasoh ni diempangkan sehingga terbentuk tasik buatan oleh orang dulu-dulu.

Namun empangan itu tak mampu menampung lagi tasik tersebut lalu menenggelamkan seluruh kampung yang ada di sekitar situ. Kampung yang tenggelam itulah yang bernama Tasoh dan yang turut ditenggelamkan ke dalam tasik tersebut juga adalah sekolah, masjid, tanah perkuburan dan rumah-rumah.

Ini adalah buah mulut penduduk setempat. Betul atau tidak aku tak pasti. Kalau korang rajin mencari, pasti korang akan temui kisah-kisah lain berkenaan Empangan Timah Tasoh ni.


Padang Besar, Perlis

Sudah menjadi kemestian kepada pengunjung-pengunjung yang tiba di Perlis untuk singgah ke Padang Besar yang terkenal sebagai syurga membeli belah. Ada bermacam-macam jenis barangan yang ada dijual disini antaranya perkakasan dapur, buah buahan, pakaian, barang mainan, produk kecantikan, beg dan banyak lagi. 


Bila berada di sini, korang kena pandai tawar menawar untuk mendapatkan harga paling murah. Malah jika korang pandai, korang mampu memperolehi potongan harga sehingga 70-80%. Satu lagi tips untuk membeli belah di sini, cuba datang pada hari biasa dan bukan pada hujung miggu atau cuti umum kerana perbandingan harga sungguh ketara.


Lagi satu di Padang Besar ini terkenal dengan menu Pulut Ayam ni. Menggunakan beras pulut dari Thailand, digandingkan pula dengan ayam goreng berempah dengan sos Thai. Perghh memang betul-betul menyelerakan. Rugi kalau korang tak cuba bila sampai ke sini.


Restoran Cendol Pulut Haji Johari, Jitra

Terbaik! Itu je yang boleh aku katakan tentang keenakan cendol pulut Haji Johari ni. Santannya pekat dan fresh lagi-lagi bila digandingkan dengan pulut. Nak lagi sedap kalau korang add on durian udang merah kalau aku tak silap. Perghh memang mengigau.


Restoran Cendol Pulut Haji Johari ni terletak di KM17.3 Lebuhraya Utara Selatan, Pekan Napoh, Jitra Kedah. Ia beroperasi dari 8 pagi sehingga 11 malam pada setiap hari Sabtu sehingga Khamis.
Harga yang ditawarkan juga cukup murah dengan portion yang besar. Cendol durian sahaja baru berharga RM7.50 semangkuk dengan 2 ulas durian.


Di sana juga bukan setakat menyediakan pelbagai jenis cendol malahan ada juga disediakan menu masakan panas dan berlauk untuk para pengunjung. Restoran ini juga sentiasa penuh dengan pengunjung yang berhenti rehat setelah penat meredah perjalanan yang jauh.


Jadi kalau korang berada di Jitra, sama ada nak ke utara atau pun ke arah selatan, jangan lupa singgah ke Restoran Cendol Haji Johari ye. Memang terbaik. Kalau lah Kuala Lumpur dan Perlis ni dekat, nak ke aku bungkuskan untuk keluarga aku. Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, bolehlah menghubungi Haji Johari Isa (0124026226)



**********

Gunakan kod ZENXAFZAL untuk mendapatkan potongan harga sebanyak 20% bagi mana-mana cawangan hotel Zen Rooms

Itu sebahagian daripada tempat-tempat menarik yang boleh korang kunjungi sekiranya korang menuju ke utara tanahair melalui lebuhraya persekutuan. Sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik, mungkin aku akan kongsikan lagi di masa hadapan. 

Aku harap aku dapat berkongsi sesuatu di dalam artikel kali ini. Terima kasih kepada FTRoadpedia daripada Kementerian Kerja Raya atas kesudian membawa kami bersama menelusuri lokasi dan tempat menari sepanjang perjalanan dari Selangor ke Perlis. 

InsyaAllah jika panjang umur, murah rezeki mungkin aku akan tulis artikel tempat menarik di sepanjang perjalan ke Kota Bahru plak kan? 


4 Comments

  1. Ada beberapa tempat makan boleh terjah ni nanti. Auccchhhh! Wajib memburu nanti ni, dekat dengan rumah! Thanks share abg Afzal

    ReplyDelete
  2. Ada tempat yang dah pergi dan ada yang belum. Nanti nak balik Kedah singgah dulu makan2 lah

    ReplyDelete
  3. wahh menarik nii.. nti leh cari la kalau g rumah bakal ehem2

    ReplyDelete