Konvoi KINGZ MG Annual Ride 2018 Ke Terengganu Bersama Gaya Travel


Bismillah,

Pada bulan September yang lalu aku berpeluang mengikuti konvoi Kelab Permotoran Kingz MG ke Terengganu. Kingz MG merupakan kelab motor berkuasa tinggi yang rata-ratanya merupakan pemilik motosikal Harley Davidson. Lebih 100 orang pemilik motosikal Harley Davidson turut mengikuti Kingz Annual Ride 2018 ini. Mereka berkumpul di lokasi pertama di Menara Kuala Lumpur seawal 6 pagi. Kali ini Kingz MG turut membawa sama ahli keluarga lain dengan menyewa sebuah bas dalam konvoi kali ini. Untuk pengetahuan lokasi berkumpul dan sarapan pagi ditaja oleh pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur.


Konvoi Hari Pertama
Selepas sarapan pagi dan mendapat  penerangan daripada ketua marshall, mereka mula berlepas menuju ke Terengganu pada jam 8.30 pagi. Konvoi Kingz Annual Ride ini turut mendapat kerjasama daripada PDRM dan JPAM. Pihak media yang dipelopori oleh Gaya Travel turut membantu membuat hebahan dan memastikan matlamat program tercapai. So sepanjang perjalanan ke Terengganu, pihak PDRM akan menjadi pandu arah dan mengawal trafik agak perjalanan mereka lebih lancar dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Untuk 1st pit stop hari pertama konvoi adalah di Muzium Negara. Di sini peserta konvoi dapat bergambar beramai-ramai di gerabak lama keretapi di hadapan Muzium Negara.  Selesai sesi bergambar, check point berikutnya adalah di The Gasket Alley yang terletak di Petaling Jaya. The Gasket Alley ini merupakan pusat showroom motosikal berkuasa tinggi, menjual paerkakasan ganti dan juga event space. Kemudian konvoi meneruskan perjalanan terus ke Pantai Timur dan berhenti rehat di Suria Resort Cherating atau kini lebih dikenali sebagai eYRA By Suria Cherating. Di sini para peserta konvoi telah dijamu dengan pelbagai hidangan lazat yang tidak asing bagi penduduk tempatan lebih-lebih lagi bila berada di tepian pantai. Nikmatnya rasa lain bebenor kata orang Negeri Sembilan.


Setelah rehat seketika, konvoi kembali memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu. Perjalanan hari pertama konvoi ini berakhir apabila peserta konvoi tiba di Hotel Seri Malaysia Kuala Terngganu. Teringat plak bila kami dihidangkan dengan menu sambal tempoyak malam tu. Dapat makan dengan nasi kosong je pun dah boleh tambah 2 pinggan haha. Kami kemudiannya naik ke bilik untuk berehat kerana keesokan harinya kami akan menyambung perjalanan ke sekitar Terengganu.


Konvoi Hari Kedua 
Konvoi hari kedua kali ini dimulakan seawal 9 pagi setelah semua peserta menjamu selera menikmati sarapan di lobi hotel. Destinasi pertama yang kami kunjungi adalah Masjid Kristal, Kuala Terengganu. Setelah bergambar beramai-ramai, kami kemudiannya bergerak pula ke ke Setiu, salah satu daerah yang terletak di Terengganu.


Apa yang menariknya di Setiu ini adalah pantai-pantai yang ada di sini cantik-cantik belaka. Lebih-lebih lagi apabila kami dapat tahu yang lokasi yang bakal kami kunjungi selepas itu dekat ngan Pantai Penarik. Terrapuri Heritage Village merupakan bangunan resort yang mempunyai senibina yang cantik dan berkonsepkan binaan Melayu lama. Aku akan ceritakan berkenaan resort ini di dalam artikel berikutnya ye.


Selesai menjamu hidangan ringan dan bergambar, kami meneruskan perjalanan ke salah sebuah rumah milik seorang ahli kelab Harley Owner Group (HOG). Di sana kami menjamu makan tengahari dan berehat sebentar sebelum memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya. Kemudian konvoi bergerak menuju ke Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu. Di sini kami diperkenalkan dengan golongan yang tidak bernasib baik, anak yatim piatu dan mereka yang mempunyai masalah kecacatan fizikal. Nasib mereka dibela di sini sehingga mereka yakin mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri apabila keluar nanti. Hati aku sayu tatkala melihat beberapa orang bayi kecil yang turut menghuni Taman Sinar Harapan ini. Seawal usia itu mereka sudah tiada keluarga. Menitis juga lah air mata aku melihat anak-anak yang tidak berdosa itu.


Setelah lewat petang, peserta konvoi kembali ke Hotel Seri Malaysia untuk berehat kerana pada sebelah malamnya pula peserta akan diraikan di dalam majlis Kingz Annual Dinner yang bertempat di restoran di lobi hotel. Bertemakan Hawaii, majlis pada malam itu tampak lebih meriah dengan hiasan dan lampu kepala yang berwarna-warni. Majlis memperkenalkan logo baru kelab permotoran Kingz MG yang lebih global. Kemudian majlis  Turut memperkenalkan beberapa ahli baru menyertai Kingz MG dan seperti biasa ahli baru akan disirami dengan air sebagai tanda simbolik menyertai kelab permotoran tersebut.



Sewaktu para peserta menikmati hidangan stramboat yang disediakam oleh pihak hotel, majlis turut diserikan lagi dengan persembahan daripada seorang artis tanah air iaitu Aweera. Aweera sempat menyanyikan beberapa buah lagi bagi menghiburkan peserta-peserta konvoi pada malam itu. Majlis berakhir sekitar jam 12 malam dan peserta kembali ke bilik untuk berehat kerana keesokan harinya konvoi akan mula kembali ke ibu kota Kuala Lumpur.

Konvoi Hari Ketiga

Hari ini merupakan hari terakhir siri penjelajahan konvoi Kingz MG ke Pantai Timur sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Setelah bergerak hampir 2 jam, kami berhenti rehat di Pantai Mak Nik yang terletak di Kemaman, sempadan negeri Pahang. Di sini kami dijamu dengan hidangan keropok lekor, satar dan juga otak-otak. Aku sempat membeli beberapa bungkus keropok lekor untuk dijadikan buah tangan.


Perjalanan diteruskan lagi sehingga kami tiba di Temerloh. Kami tiba agak lewat  disebabkan hujan lebat di sepanjang perjalanan. Bertempat di Restoran Terapung D'Mukmin kami dihidangkan dengan menu masakan yang tidak asing di daerah itu iaitu Patin Masak Tempoyak. Menariknya di Restoran Terapung D'Mukmin ni, pondok-pondok makan dibina di atas rakit buluh di atas kolam. Jadi ianya terapung dan merupakan pengalama unik untuk dicuba sekiranya korang ke Temerloh nanti.


Sesudah itu konvoi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan berhenti rehat di Craven Cafe sebelum masing-masing bersurai dan membawa haluan sendiri. Ini merupakan pengalaman yanh tak dapat aku lupakan dan aku harap dapat mengikuti konvoi seperti ini di masa akan datang nanti.

2 Comments