Trip 5 Hari 4 Malam Ke Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia [Part 2]


Artikel sebelum :

Hari Ketiga : Pulau Batu Belubang Ke Pulau Lingga



Seterusnya perjalanan kami diteruskan ke Pancur, salah sebuah perkampungan yang terletak di Pulau Lingga. Perjalanan dari Pulau Batu Belubang ke Pulau Lingga memakan masa dalam 40 minit. Setelah mendarat di jeti, kami seterusnya dibawa ke sebuah kawasan rekreasi air terjun yang dikenali sebagai Air Terjun Resun. Dari jeti Pulau Lingga ke Air Terjun Resun pula memakan masa dalam 1 jam. Walaupun tiada kenderaan tetapi jalanraya yang berliku-liku menyebabkan kami perlu berhati-hati ketika memandu. Kawasan air terjun tersebut masih terpelihara kebersihannya memandangkan ia pun baru dibuka kepada pengunjung. Sepanjang perjalanan kami sebelum ni hanya dikelilingi air laut namun bila jumpa je air terjun kali ni tetiba rasa teruja tu lain macam. Dapat la menyegarkan dan membersihkan badan yang sehari suntuk berpeluh dan berlengas.


Kami berhenti tak lama memandangkan sudah hampir masuk waktu senja. Melalui pengalaman pemandu van kami, ada la kisah disebaliknya kenapa pengunjung tidak dibenarkan berada di sana seusai waktu senja lebih-lebih lagi mereka yang berpakaian merah. Tak pasti sama ada ianya mitos atau rekaan, tetapi kita dah berada jauh di tempat orang ni ikut sahaja apa yang diminta ye.

Perkampungan Pancur, Pulau Lingga


Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Pancur di mana perjalanan kami mengambil masa dalam 40 minit perjalanan. Tak banyak rumah penduduk yang kami temui sepanjang perjalanan kami itu. Setibanya kami di Kampung Pancur, kami berehat di sebuah hotel murah di sana. Kampung Pancur merupakan perkampungan yang rata-ratanya didiami oleh kaum cina. Rumah mereka tersusun di sepanjang kiri dan kanan jalan di atas paya. Keseluruhan binaan rumah masih mengekalkan binaan kayu dan papan. Walaupun kaum majoritinya adalah kaum cina, namun aku masih mendengar azan maghrib menandakan masih ada komuniti Melayu di sana. Bagi mengisi masa lapang, anak-anak muda di sini menghabiskan masa bermain pool dan billiard. Haa jangan tak percaya di sini ada disediakan tempat untuk bermain pool dan billiard.


Sambutan Perayaan Imlek
Sesudah membersihkan diri, kami dibawa untuk menghadiri Perayaan Imlek di sebuah klenteng di sana. Perayaan Imlek di Pulau Lingga ni sama seperti Perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia dan klenteng merupakan rumah ibadat atau lebih kita kenali sebagai tokong cina. Di klenteng tersebut masyarakat cina berkumpul dan bersembahyang bersama-sama. Antara aktiviti yang diadakan sewaktu perayaan Imlek adalah seperti nyayian daripada penyanyi jemputan dan bida barang. Barang yang dibida akan didermakan ke pertubuhan masyarakat cina dan klenteng di sana. Kami pun tak lama di sana memandangkan badan masing-masing pun dah cukup letih. Kami kembali ke hotel dan berehat secukupnya untuk perjalanan esok pula.

Hari Keempat : Melawat Tapak Bersejarah Di Pulau Lingga
Lokasi & Mitos Gunung Daik


Hari berikutnya kami bergerak seawal 9 pagi untuk melihat beberapa lokasi yang menjadi tapak sejarah di Pulau Lingga tersebut. Dalam perjalanan menuju ke Museum Linggam Cahaya, kami dimaklumkan Gunung Daik berada di pulau tersebut. Aku dapat melihat Gunung Daik yang dikatakan bercabang tiga selama ini sebagaimana yang sering diungkapkan dalam pantun orang lama.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga


Nah boleh aku simpulkan di sini kerajaan Riau-Lingga memang ada hubung kait yang rapat dengan kerajaan Melayu lama. Bukan setakat kerajaan Melayu Melaka, malah sewaktu di Museum Linggam Cahaya aku dapat lihat susur galur keturunan kesultanan Melayu berasal daripada Riau-Lingga. Jadi tak hairanlah sosiobudaya dan peradaban mereka saling tak tumpah dengan masyarakat Melayu Malaysia. Ada banyak artifak dan peninggalan sejarah yang boleh korang lihat di Museum Linggam Cahaya itu.


Aku diberitahu yang empat orang sultan Melayu ada di makamkan di pulau tersebut. Tiga daripadanya dimakamkan berhampiran manakala satu lagi dilokasi lain. Berkenaan Gunung Daik tu, kami diberitahu asalnya gunung tersebut sememangnya bercabang tiga tetapi ada banyak mitos dan sejarah yang mengatakan gunung tersebut sudah menjadi dua cabang. Antara mitos yang kuat mengatakan ada satu ketika dulu sultan telah murka dan menyebabkan salah satu cabangnya patah. Wallahua'alam tapi aku seronok mendengarnya kerana mitos-mitos seperti inilah yang banyak diceritakan dan membesarkan aku dulu.

Santapan Di Restoran Friska


Seterusnya kami berhenti makan dan berehat di sebuah restoran di sana. Aku bersyukur kerana di restoran Friska ini ada menyediakan kemudahan wifi kepada para pelanggannya. Sejak beberapa hari kami terputus hubungan dengan dunia luar, memang tak dapat update langsung. Jadi selain makan dan berehat, kami menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh sebelum memulakan perjalanan kembali. Oh makanan di sini pun enak belaka. Tempatnya santai, duduknya bersila di atas pangkin yang diperbuat daripada buluh. Jadi kalau korang ke Pulau Lingga jangan lupa untuk singgah makan di restoran Friska ni ye.

Tapak Peninggalan Istana Damnah


Kemudian kami bergerak ke tapak peninggalan istana Damnah. Ia merupakan salah satu tapak istana yang masih kekal sehingga ke hari ini. Tetapi di mana istananya? Ada mitos yang mengatakan istana Damnah hilang dalam satu malam, ada yang kata ianya terbakar dan ada yang percaya ianya mereput di telan zaman. Namun tapak istana ni masih kekal dan merupakan salah satu tapak sejarah yang perlu dipelihara dan dijaga. Malah pihak kerajaan telah membangunkan satu replika istana yang dikatakan menyerupai istana Damnah tidak jauh daripada situ. Jadi bila berada di tapak sejarah lama ini, kelakuan dan tindak tanduk perlulah dijaga dan diawasi sebagai tanda hormat agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Almaklumlah ia pernah menjadi tinggal sultan dan adat istiadat lama.


Bermalam Di Lingga Pesona Hotel
Bila hari mula petang, kami kemudiannya ke salah sebuah hotel di sana iaitu Lingga Pesona Hotel. Alhamdulillah hotelnya selesa walaupun berada di pulau yang jauh dari kesibukan manusia. Biliknya kecil tapi bersih. Dilengkapi dengan penghawa dingin dan tv. Kemudahan wifi juga ada disediakan tetapi hanya di lobi hotel sahaja. Harganya pula sekitar Rp 60.000 - Rp 500.000 semalaman. Kami berehat sehingga maghrib sebelum keluar makan malam. Kami pulang lewat sekitar 10 malam ke hotel dan berehat kerana keesokan harinya awal-awal pagi kami akan berangkat balik ke Malaysia.

Hari Kelima | Bertolak Pulang Ke Malaysia
Itulah sedikit sebanyak yang dapat aku kongsikan di sepanjang perjalanan 5 hari 4 malam aku ke kepulauan Riau-Lingga, Indonesia. Kalau nak diikutkan memang tak cukup tapi insyaAllah next time kalau ada rezeki aku akan ke sini lagi. Ada banyak lagi pulau yang boleh diteroka dan berpotensi menjadi pusat tarikan pelancong. Semoga jumpa lagi nanti.

2 Comments