KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN BANGKIT 2022


Untuk pengetahuan korang tadi telah berlangsungnya Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Bangkit 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri Rina Mohd Harun.


Fokus utama karnival ini dianjurkan adalah bagi memberi peluang dan ruang kepada wanita-wanita di luar sana untuk menceburkan diri di dalam sektor pekerjaan, perniagaan mahupun keusahawanan. Melalui platform yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat ini, ia dapat membuka banyak peluang untuk wanita memperkasakan ilmu pengetahuan, pengurusan kewangan, kemahiran dan kepimpinan kendiri. Dengan ini wanita mampu memberi daya saing dan menjana ekonomi keluarga dan negara.


Akibat daripada situasi pandemik beberapa tahun sebelum ini, ramai wanita yang terkesan dan terpaksa membantu keluarga mencari pendapatan sampingan secara atas talian atau di rumah sahaja. Menurut beliau lagi dek kerana kegagalan pengurusan kewangan dari sumber kewangan yang terhad telah menyebabkan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan seperti pengabaian nafkah dan tanggungjawab, anak-anak keciciran persekolahan dan tunggakan hutang yang tinggi.


Maka dengan adanya inisiatif Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Bangkit 2022, wanita-wanita dapat menyumbang dan membantu menaiktaraf ekonomi keluarga seterusnya dapat mengurangkan masalah-masalah keluarga yang disebabkan kewangan. Antara inisiatif-inisiatif yang ditekankan di dalam karnival ni adalah melalui sektor formal mahupun tidak formal.


Melalui sektor formal, wanita diberi pendedaham melalui pelbagai pameran kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TelentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain. Manakala melalui sektor tidak formal pula, peserta-peserta diberikan peluang pekerjaan dan keusahawanan daripada sektor kerajaan seperti Mamacare,  program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, sektor swasta seperti Maxis sebagai penyedia telekomunikasi untuk penganjuran e-Kelas Usahawan dan badan-badan NGO yang lain.


Selain itu peserta-peserta juga diberikan bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 sebagai modal bagi memulakan perniagaan dalam bidang e-dagang atau perniagaan secara atas talian dan perniagaan kecil-kecilan. Seramai 11,055 orang wanita telah berjaya memperolehi pekerjaan dan memulakan perniagaan melalui kedua-dua sektor formal mahupun tidak formal. 


Bagi program seterusnya, karnival ini akan menjelajah di lokasi-lokasi lain mengikut zon iaitu bagi Zon Sabah di Suria Sabah Shopping Mall pada 23 hingga 25 September 2022 dan Pusat Dagangan Terengganu bagi Zon Pantai Timur pada 6 hingga 8 Oktober 2022.


Semoga wanita-wanita di luar sana cakna dan mengambil peluang ini bagi memperbaiki ekonomi diri dan keluarga, menambah pendapatan dan memperkasakan ilmu tentang perniagaan dna keusahawanan. Buktinya lebih 15 ribu peluang pekerjaan telah ditawarkan kali ini disamping pelbagai peluang seperti mendapatkan tips dan nasihat dari mereka yang telah berjaya menjadi usahawan.


Semoga usaha murni Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat dapat membantu ramai wanita di luar sana menceburi sektor keusahawanan sekaligus memperbaiki ekonomi keluarga.

0 Comments