Cerpen Alam Angker : Mainan Perasaan?

3:06 PM


Hari ini merupakan hari pertama Zakiah menempuhi kehidupan berasrama. Semuanya serba sendiri. Setelah tiga belas tahun hidup di bawah ketiak orang tuanya, malam-malam Zakiah kini bakal ditemani bantal peluk dan anak patungnya sahaja. Dari pagi sehingga petang, dia langsung tak beri peluang untuk berenggang dengan ibunya. Kalau dia tahu macam itulah suasananya, dia lebih rela bersekolah harian. Sakit demamnya ada orang yang jaga, apatahlagi makan pakainya. Tetapi dia nekad, walaupun berat hati ibunya untuk melepaskan dia duduk berjauhan daripada keluarga.. dia tetap dengan pendiriannya untuk memasuki sekolah berasrama. Baginya peluang itu datang sekali seumur hidup, kalau bukan hari ini.. bila lagi?

Kelopak matanya mula bergenang tatkala melihat kelibat kereta milik bapanya semakin menjauh melepasi pintu gerbang asrama. Dia masih berdiri menjengket-jengket walaupun kereta bapanya sudah tidak kelihatan lagi. Apa perlu dia lakukan? Siapa rakan sebiliknya? Ke mana perlu dia pergi selepas itu? Semua persoalan bermain-main di benak fikirannya serentak. Tatkala pandangannya melepasi rendang pohon ara, matanya tertangkap sesusuk tubuh di belakang pohon tersebut. Dia berpaling dan melihat kembali namun tiada apa yang kelihatan pada pohon ara sebesar dua pemeluk dewasa itu. Zakiah mempercepatkan langkah memandangkan azan maghrib sudah mula berkumandang. Kelibat Zakiah semakin menjauh tetapi masih ada mata yang terus terusan memerhatikannya dari balik pohon ara..

**********

Seusai solat maghrib, Zakiah kembali ke dorm untuk bersiap ke class prep pula. Perjumpaan bersama Badan Perwakilan Pelajar seperti yang dijadualkan pada malam itu terpaksa dibatalkan dek kerana hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Seronok memang seronok, lagi seronok kalau masa terluang seperti itu diisi dengan berborak panjang bersama ibunya di pondok telefon. Hajatnya ditangguh seketika tatkala melihat rakan-rakannya yang lain sudah beratur panjang menunggu giliran untuk menggunakan telefon. Pihak asrama bukan tidak menyediakan kemudahan telefon lebih tetapi yang lainnya sudah pun menjadi mangsa vandalisme pelajar-pelajar di sekolah itu. Nak baiki terpaksa mengambil sedikit masa. Nak tak nak terpaksalah berkongsi satu telefon walaupun kena menunggu sehingga berjam-jam lamanya. 

Zakiah memandang sekeliling, mencari kelas bersama rakan sebiliknya Miya. Dia hanya membuntuti Miya daripada belakang sementara matanya meliar memerhatikan pelajar lain. Dia seakan-akan merasakan ada sesuatu sedang memerhatikannya dari penjuru bilik guru. Berkelip-kelip Zakiah memerhati dari jauh, tetapi masih tiada apa di sana. Mungkin hanya mainan perasaannya. Mungkin juga dia terlalu banyak berfikir perkara yang bukan-bukan. Almaklumlah dia sendiri tau sekolah berasrama sangat sinonim dengan cerita-cerita angker, sama ada kisah benar atau kisah yang ditokok tambah sesedap rasa.

"Miya aku rasa macam ada orang perhatikan kita la", ujar Zakiah sebaik sahaja mereka berada di kelas yang ditetapkan. Miya memandangnya kehairanan.

"Ala biasa la tu. Ni baru hari pertama tau.. lepas ni lagi lah. Bukan setakat perhati je, kau tunggu je la surat-surat daripada diorang plak", jawab Miya berseloroh namun gurauan Miya disambut hambar oleh Zakiah. Dia sendiri rasa tak sedap hati. Miya katakan yang mungkin Zakiah terbawa-bawa rasa rindunya terhadap keluarga tetapi Zakiah menafikan. Sejak menjejakkan kali ke sekolah tersebut, Zakiah rasa dia diperhatiakn sentiasa. Tetapi bila dia cuba mengamati.. tiada siapa di sekelilingnya. Miya menenangkan Zakiah. Zakiah akur. Malam itu mereka banyak berborak dan berkenalan dengan rakan sekelas yang lain memandangkan sesi pembelajaran mereka masih belum bermula.

Setelah loceng berbunyi, Zakiah bergegas menuruni anak tangga untuk menggunakan telefon awam. Tetapi dia mendapati pelajar-palajar sudah mula beratur untuk menunggu giliran. Zakiah mengeluh panjang. Nak tunggu Miya, dia sendiri sudah meminta kawan sebiliknya itu untuk pulang terlebih dahulu. Cuaca sejuk, rasa menyusahkan sekiranya Miya turut menunggu bersamanya di situ. Sekurang-kurangnya bila Miya tiba awal di kantin.. dia boleh belikan nasi lemak untuk santapan mereka malam itu.

Jam telah menunjukkan pukul 11 malam. Zakiah telah beberapa kali diarahkan pengawas untuk pulang ke asrama tetapi dia berkeras untuk menelefon ibunya. Dapat dengar suara pun jadilah,, sebagai syarat seperti kata orang. Akhirnya dia diberi kebenaran untuk berada di situ, walaupun dia tahu dia kini sendirian.

Sambil Zakiah menunggu panggilan diangkat, dia memerhati kawasan sekitar blok pentadbiran yang sedari tadi gelap dan sunyi. Sesekali katak dan cengkerik bersahut-sahutan, seperti perbualan di antara mangsa dan pemangsa. Angin malam meniup sepoi-sepoi membuatkan Zakiah memeluk badannya sendiri. Baju kurung yang disarungnya malam itu sedikit basah dek percikan air hujan yang turun dari bumbung bangunan. Zakiah menangkap bunyi decitan tapak kaki tidak jauh dari tempat dia berdiri. Matanya hanya memandang peti telefon, perasaannya sedikit takut kerana dia mula berfikir yang bukan-bukan. Dia tak pasti adakah apa yang dirasakannya ketika itu benar-benar wujud atau sebahagian daripada mainan perasaannya sahaja. Dalam pada matanya memandang peti telefon, dia terperasan seperti ada sesuatu sedang berdiri menghadapnya dalam jarak 50 meter di hadapan kaunter pejabat. Dia tak pasti apakah yang dia lihat itu manusia ataupun sebaliknya.

Zakiah lantas meletak gagang telefon dan dengan pantas dia berlari-lari anak menuju ke kawasan asrama. Dia masih merasakan ada sesuatu mengekorinya dari belakang. Degupan jantungnya menjadi semakin kencang manakala fikirannya pula hanya ingin cepat-cepat pulang ke asrama. Kiri dan kanannya gelap gelita kerana selepas pukul 11 malam, kawasan blok pentadbiran dan pembelajaran akan dimatikan lampunya. Dia termengah-mengah tatkala tiba di pintu masuk asrama. Sempat dia memandang ke belakang, namun masih tiada jejak dan kelibat yang kelihatan pada pandangan mata kasarnya.

**********

"Kau dah kenapa Kiah? Gabra semacam je aku tengok. Kau.. nampak hantu ye? Hehehe", sakat Miya tetapi tidak mendapat responnya. Bagaimana harus dia terangkan kepada kawannya itu yang dia seperti diekori tetapi tak tahu siapa. Ke tandas, ke kelas, ke surau semuanya perasaan yang sama. Tetapi siapa yang mahu percaya. Orang akan anggap itu cuma mainan perasaannya sahaja. Zakiah merebahkan badannya, kepalanya dirasakan sangat berat. Matanya berpinar-pinar minta diberikan rehat secukupnya. Akhirnya Zakiah terlelap dalam kepenatan.



Jam 2.25 pagi

Zakiah terjaga. Dia mengurut-urut kepalanya yang sudah kurang rasa sakitnya. Dia memandang siling, memerhatikan kipas yang ligat berpusing. Lampu koridor telah lama dipadamkan. Keadaan sekitar kelihatan gelap, hanya samar cahaya bulan sahaja yang berjaya menembusi langsir biliknya. Zakiah memerhati sekeliling, segalanya gelap dan sunyi. Hatinya kembali kacau tatkala telinganya menangkap satu suara. Dia tidak pasti sama ada bunyi itu terhasil daripada geseran kipas siling atau suara dari seseorang. Zakiah dalam posisi duduk, sementara matanya masih mencari-cari dari mana datangnya suara tersebut dari dalam kelambu.

Sebaik sahaja dia berpaling memandang Miya di katil sebelah, dia mendapati ada susuk tubuh sedang berdiri di sisi katil. Zakiah mengamati betul-betul susuk milik siapakah itu, mungkin kawan dari bilik sebelah.. atau mungkin juga Mak Guard yang datang meronda. Tetapi kenapa rambutnya panjang sangat? Setahu dia tiada siapa dibenarkan menyimpan rambut melebihi paras bahu di sekolah tersebut melainkan..

"Kau cari aku ke??", terpacul suara daripada susuk tubuh tersebut. Semakin susuk tersebut menghampiri kelambunya dari luar, baru Zakiah sedar yang susuk itu bukan milik manusia. Rambut panjang dan gigi menyeringai membuatkan Zakiah terus menjerit-jerit gila. Miya dan rakan-rakan dormnya yang lain terus terjaga bila terdengar jeritan Zakiah. Zakiah seperti orang hilang akal. Meracau tak tentu hala. Dia asyik menjerit-jerit minta pulang ke rumah. Keadaan tersebut berlarutan sehingga awal Subuh setelah ustaz dipanggil bagi memulihkan keadaan. Tiada siapa yang tahu apa yang telah berlaku kepada Zakiah. Dia kini hanya terbaring pucat sambil ditemani warden bertugas sementara menunggu ibu bapanya datang menjemputnya untuk pulang ke rumah.

**********

Seminggu sebelum..

"Pasti menjadi ke tok?", tanya perempuan separuh umur tersebut. Tok bomoh hanya diam. Matanya memandang foto yang diberikan kepadanya. Jarang berlaku kes seperti ini, tetapi apa sahaja kehendak pelanggan.. dia mesti kena tunaikan.

"Kalau boleh tok bawa dia kembali ke pangkuan saya ye. Saya tak mahu dia berjauhan daripada saya", ujar wanita tersebut sambil memerhati bomoh yang berada di hadapannya sudah pun mula melakukan ritual terhadap gambar anak kesayangannya.

Kali ini dia yakin anaknya akan kembali semula ke pangkuannya semula..




P/s : Jangankan korang, aku pun pernah rasa. Jangan dilayan perasaan tu..
       Takut2 apa yang kita fikirkan akan muncul depan mata :)

You Might Also Like

5 comments

  1. wow,..diluar jangkaan!! genius !!!!

    ReplyDelete
  2. mantop sekali entry. :D

    jemput singgah :)

    http://santanmanis.blogspot.com/2014/03/blog-santan-manis-masuk-majalah-remaja.html

    ReplyDelete
  3. mak dia ke yg menyakat dia? saiko betul.

    ReplyDelete
  4. mak dia pun..kalau xnak berjauhan xyahlah bagi pergi dok asrama..siap pakai bomoh pulak haihh..kalau citer seram afzal ni,confirm fiza baca waktu siang je..seram kemain dgn gambar tu.

    ReplyDelete