Cerpen : Menantu Pilihan Mak

12:27 PM


Mohd Zul Fadli Bin Mohamed atau lebih mesra dipanggil Andy, menggosok malas giginya. Kenapa dia mesti memberus gigi walhal giginya takde la kuning mana. Kalau boleh mahu sahaja dia sambung tidurnya, tetapi selagi dia tidak bergerak pulang.. selagi itulah telefonnya akan berdering minta diangkat. Siapa lagi kalau tak emaknya, Mak Senah. Selang lapan minit setengah, mak dia akan telefon bertanyakan status lokasinya. Ni tak lain tak bukan mesti pasal menantu pilihannya tu. Muka Andy semakin toya bila memikirkan yang terunanya bakal hilang tak lama lagi.

Dia berkumur, memandang cermin. Dia sendiri musykil kenapa dia tak kahwin-kahwin lagi sehingga kini. Kawan perempuan keliling pinggang. Nak kata dia gay pun bukan. Mungkin kerana terlalu memikirkan soal kerja barangkali. Bila dia memikirkan kembali perbualan telefon antara dia dengan ibunya semalam membuatkan dia tersenyum sendiri.

"Mak hantar gambar apa ni?", tanya Andy sebaik sahaja menerima mesej bergambar daripada ibunya.

"Mak hantar gambar calon menantu. Amacam? Berkenan tak?", balas maknya di hujung talian.

Andy memerhati satu-satu. Gambar tersebut agak kabur, kelihatan 3 atau 4 orang gadis di dalam gambar tersebut. Matanya terpaku pada seseorang. Gadis tu nampak ayu, cantik senyumannya walaupun tidak beberapa jelas.

"Yang mana satu mak? Tudung merah hati tu ke?", tanya Andy lagi. Kalau betul telahannya waktu itu, calon tersebut masih boleh dipertimbangkan borang permohonannya. Kira boleh la daripada takde.

"Apa kejadahnya. Tu makcik Rokiah kau la. Jodoh kau atas pokok jambu tu haa", bingit suara maknya dari dalam telefon. Boleh pecah gegedang telinganya. Bukan setakat telinga kanan, telinga kiri pun boleh terbabit sama. Penumpang komuter yang berada berhampirannya memandang sinis. Andy menjadi malu-malu alang.

"Ni mak nak cari menantu ke.. pengait jambu?", getus Andy sedikit perlahan. Berkerut dahinya memerhatikan gambar anak kecil di atas pokok jambu tersebut.

"Tu gambar lama, gambar baru mak tak dapat lagi. Nanti mak send lagi. Line kat kampung ni mana la nak ada sangat. Ni pon mak pegi kat warung Seman, almaklumlah sini ada wifi", panjang lebar maknya berceloteh. Kalau dilayan maknya, cerita pasal karipap pon boleh pergi sampai sejarah kota Rom!

"Eh ni kira baru gak ni mak.. kalau boleh mak hantar gambar time dia dalam perut mak dia. Haa yang tu lagi awesome!", Andy bergurau.. saja dikenakan maknya itu.

"Haa lawak punch line macam ni la yang mak tunggu-tunggu. Kau nak makan penampar tak?",gertak maknya membuatkan Andy tertawa terbahak-bahak. Kali ni dia langsung tak pedulikan orang sekeliling. Nak kata apa pun katalah janji maknya kelakar.

***********

Andy bergegas mengemas baju, jarum pendek jamnya sudah pun menunjukkan pukul 10 pagi. Telefon bimbitnya awal-awal lagi sudah diserahkan kepada Che Wan. Rakan serumahnya itu ditugaskan untuk menyamar sebagai dirinya, menjawab panggilan telefon daripada Mak Senah. Nak diberikan kepada Rizal, macam tak boleh pula sebab kawannya itu sengau. Sah-sah kantoi rancangannya nanti.

“Andy, anje tu sape?”, Tanya Che Wan sebaik sahaja menerima panggilan daripada seorang perempuan.

“Err.. err tu nama timangan aku la.. mak aku panggil macamtu”, ujar Andy ringkas. Mukanya merah menahan malu. Che Wan menekup mulut menahan gelak, tak mahu hila tawanya nanti merencatkan penyamarannya seterusnya akan dimaki hamun Mak Senah. Andy mendengus kecil. Salahkah jika dia dipanggil begitu? Lagipun mak dia panggil Anje.. bukan anjing. Cheh!

“Kau nak ikut sama tak Rizal?”, tanya Andy sebaik melihat Rizal duduk di buaian.. di taska sebelah rumah. Tak tahu macamana dia boleh sampai ke situ, merajuk gamaknya bila Andy tak mempelawanya pulang sekali ke kampung. Rizal mencebik seolah-olah minta kaki, juihnya kalau nak diikutkan serupa divider jalan. Dia terus berbuai sambil menyanyi-nyanyi kecil lagu Bapaku Pulang Dari Kota.

“Kau tak nak ikut sudah, kau jaga rumah ye. Jangan rembat megi aku, jangan pakai seluar dalam aku”, pesan Andy awal-awal. Dia masak benar dengan karenah rakannya yang seorang tu. Rizal buat tak tahu, terus menyanyi walaupun bait-bait lirik yang terpacul dari mulutnya tak jelas mana. Sengau tahap tiga. Andy menunggu di dalam kereta sementara Che Wan menyimpan barang di bonnet. Setelah selesai berkemas, kereta Nissan Almera edaran Tan Chong Motor milik Andy terus bergerak. Che Wan lantas menghidupkan radio, memeriahkan sedikit suasana di dalam kereta.

“Sukharnya huntukku pefisah henganmu.. khau hunci chitahu..”, tiba-tiba kedengaran satu suaradari tempat duduk belakang. Andy yang terkejut memberhentikan kereta serta merta. Kelihatan Rizal di situ sambil tersengih. Entah sejak bila dia masuk ke dalam kereta, mereka sendiri tak perasan.

“Hehehe haku nak hikuk la”, ujar Rizal. Che Wan hanya tersengih sementara Andy menggeleng-gelengkan kepala. Nasiblah Rizal nyanyi sahaja, kalau mamat tu buang tabiat dibuatnya love bite kat leher time dia memandu tadi.. confirm ke longkang dah mereka sekarang!

Perjalanan mereka diteruskan memandangkan mereka cuma ada lebih kurang 3 minit sahaja lagi sebelum menerima panggilan Mak Senah yang berikutnya. Angkernya mereka rasa seperti menunggu panggilan ugutan daripada pembunuh. Ya, pembunuh tersebut merupakan seorang makcik yang menjadi pembantu kantin sekolah rendah. Kalau difilemkan bukan setakat pecah panggung, malah boleh pecah punggung sesiapa yang menontonnya!

**********

Tidak asing lagi lebuhraya Nilai hingga Seremban sudah sinonim dengan kesesakan lalu lintas, tak kira hari biasa mahupun cuti umum. Percaturan Andy sedikit meleset tatkala membuat pilihan untuk melalui lebuhraya berbanding jalan ‘dalam’. Kakinya sedikit kebas dek kerana asyik menekan clutch dan brek. Rizal sudah lama terlelap, siap pakej dengkur-dengkur manja lagi. Che Wan pula sememangnya tiada lesen memandu. Nak diikutkan pada awalnya dia tak berasa mengantuk mana, tapi bila Che Wan asyik ulang lagu Pelamin Anganku Musnah nyanyian Azie.. rasa berat kemain kelopak matanya. Bayangkan sejak mereka mula bergerak, boleh dikatakan 30 kali lagu tersebut diputarkan. Kalaulah si Azie betul-betul dipaksa menyanyi seperti tu, daripada tak berhalkum.. Andy komfom boleh tumbuh halkum si Azie lepas itu. Tapi nak buat macamana, Che Wan beralasan yang lagu itu ada kena mengena dengan kisah cinta pertamanya dulu. Itu baru satu, belum masuk Rindu Serindunya, Kau Di Paksa Aku Terpaksa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu. Eh senang kata semua lagu pilihannya memang tangkap leleh la. Bukan setakat air liur yang meleleh, boleh bergenang tinja telinga si Andy.

Che Wan memerhati sekeliling, kenderaan padat sehingga tidak dapat bergerak jauh. Dia menguis-nguis Rizal yang nampak comel menempelkan mukanya pada cermin tingkap. Rizal mengeliat memandang Che Wan. Che Wan menjuih  bibirnya mengarah ke kenderaan sebelah. Kelihatan tiga orang gadis sedang memerhatikan gelagat mereka berdua. Mereka tertawa kecil. Alahai comel sangat sehinggakan rasa bahang tengahari yang mereka rasakan ketika itu bertukar terus menjadi sejuk.

Rizal memperbetulkan duduknya, Che Wan pula menyikat rambut agar kelihatan lebih rapi. Tampak lebih anggun pada mata gadis-gadis tersebut. Andy hanya berbalas senyum dengan salah seorang daripada mereka. Daripada pengamatannya, gadis yang duduk di sebelah pemandu boleh tahan cantik. Cantik luarannya, tapi dalamannya belum tahu lagi. Che Wan menunjukkan isyarat telefon menggunakan tangan pada salah seorang gadis tersebut. Tetapi tiada sebarang respon positif, hanya tawa kecil daripada mereka sahaja jelas kelihatan. Gadis yang berada di sisi pemandu mengangkat jari manisnya, memperlihatkan sebentuk cincin yang tersarung padanya. Mungkin cuba memberitahu yang dia sudah pun berpunya. Rizal pula sedari tadi sibuk menyelongkar beg plastik. Dia lantas menurunkan tingkap kereta dan di tangannya terdapat sekeping coklat.

“Woi kau buat apa? Coklat aku tu!!”,jerit Che Wan sambil cuba untuk mencapai Rizal, mengambil kembali coklat yang baru dibelinya sebentar tadi. Rizal yang cuba meniru aksi iklan coklat di tv ternyata gagal sebaik sahaja kenderaan yang dipacu gadis-gadis tersebut mula bergerak  dan terus meninggalkan mereka.. tanpa sebarang nombor telefon atau nama.

**********

Sebaik sahaja tiba, Rizal sudah pun hilang dari pandangan mereka. Che Wan pula mula beratur untuk menempah makanan manakala Andy terkial-kial mencari meja kosong. Mereka terpaksa berhenti rehat kerana terlalu penat. Perjalanan yang memakan masa hanya tiga jam bertukar menjadi lima jam gara-gara telah berlaku kemalangan di Pagoh. Panas hati mengadap kesesakan lalu lintas satu hal.. telefon dan telinganya juga turut panas dek kerana asyik melayan emaknya di talian. Mungkin sebab risau anak kesayangannya masih tak muncul tiba.

“Andy ko tengok tu. Awek yang kita jumpa atas highway tadi. Ada seat kosong, kita tumpang sekaki la”, ujar Che Wan yang datang menyapa dari belakang. Andy sudah lama memerhatikan cuma dia tak berani. Hanya meninjau dari kejauhan. Dengan berbekalkan semangat Jawa, Andy menghampiri meja gadis tersebut sambil diekori Che Wan.

“Err err tumpang duduk boleh?”, tanya Andy. Gadis-gadis tersebut saling berpandangan. “Duduklah”, salah seorang gadis tersebut mempelawa. Dahi mereka sedikit berkerut.

“Korang yang kacau kita orang kat highway tadi kan?”,soal salah seorang daripada gadis tersebut. Mengerekot bibirnya yang mungil. Andy tunduk menghadap nasi ayam manakala Che Wan pula hanya tersengih dan mengangguk-angguk kecil.

“Takde niat apa pun. Saja main-main je tadi. Marah ke?”, balas Che Wan. Gadis berkaca mata di hadapan Andy menggeleng. Bibirnya tak lekang dari mengukir senyum. Tanpa Andy sedari hatinya bagai di picit-picit. Geli geleman dek cinta pandang pertama. Hatinya jadi gebu macam dipam-pam tetapi bila kembali menatap cincin pada jari manis gadis tersebut.. Andy pasrah. Tetiba lagu Awie terngiang-ngiang di dalam kotak fikirannya. Cerita cinta macamni kena ada lagu sound track.. baru ada umphh!

“Kak tengok kawan dia yang sorang lagi tu.. ala yang tu.. on the way ke sini tu”, Amira membisikkan ke telinga Hana. Hana memerhati sambil memperbetulkan kaca matanya. “Hensem!”, getus hatinya. Tapi bila diikutkan kacak lagi mamat yang berada di hadapannya itu.

Amira mencubit tangan Zira sambil memberi isyarat mata, menunjukkan ke arah lelaki yang sedang menghampiri meja mereka. Rizal melangkah perlahan umpama model. Rambutnya yang ikal mayang, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan jantung Zira dan Amira berhenti seketika. Ya, antara mereka.. Andy akui Rizal seorang yang kacak dan pandai bergaya. Tetapi..

“Hai, haye Hizal. Naih tu mit hiyu”, sapa Rizal sambil menyisir rambutnya ke belakang. Haa dalam banyak-banyak perkara, bab itu je yang Rizal fail!

Zira dan Amira tercengang, bukaan mulut mereka semakin meluas. Hana menekup mulut menahan gelak, satu sebab tak tahan dengan perubahan air muka yang mereka pamerkan dan satu lagi sudah tentu dengan intonasi bahasa yang si Rizal guna.

“Err kak kita orang pegi tandas kejap ye”, Zira cepat-cepat menarik lengan Amira. Tak tertanggung rasanya bila mengetahui jejaka kacak idaman mereka rupa-rupanya pendek lidah!

Poket seluar Andy bergetar lagi. Dia mengagak itu merupakan panggilan daripada emaknya. Andy bingkas bangun dan bergerak jauh sedikit meninggalkan meja. Mukanya kembali toya tatkala emaknya meminta agar dia menelefon bakal tunang yang tak pernah langsung dikenalinya. Nak tak nak, bagi menjaga hati emaknya.. dia membuat keputusan mengikut sahaja kemahuan emaknya itu.

“Assalamualaikum.. err Syikin ke ni?”,tanya Andy tergagap-gagap.

“Ye saya. Siapa ni?”, balas panggilan tersebut. Andy memperkenalkan diri. Mereka berkenalan, walaupun ringkas dan singkat.. sekurang kurangnya dia dah menunaikan hajat emaknya itu.

“Hmm awak tahu kan yang kita akan bertunang? Awak okay ke?”, tanya Syikin. Andy diam seribu bahasa. Nak diluah mati emak.. nak ditelan mati ayah. Kalau dia jujur, mungkin akan menyakitkan hati orang lain. Kalau dia terima, nak tak nak dia juga terpaksa menanggung akibatnya.

Andy akhirnya tak memberi sebarang jawapan kepada soalan Syikin. Dia berserah, andai itu jodohnya, dia bersedia menerima sebarang kemungkinan. Mereka berjanji akan bertemu pada keesokan hari. Kepalanya melayang-layang mengingat kembali gadis montel yang berada di atas pokok jambu. “Adoyai!”, Andy menepuk kepala.

Andy kembali ke meja. Che Wan dan Rizal sudah siap menjamu selera, hanya nasi ayamnya sahaja yang masih belum terusik. Andy sesekali memerhati gadis di hadapannya itu. Nak sahaja dia culik gadis tersebut dan dibawa bertemu dengan orang tuanya. Nah, ini calon menantu emak. Agak-agaknya apakah yang akan emaknya akan lakukan ye?

“Haa korang buli akak kita orang ye? Isteri orang tu!”,gadis yang bernama Zira menyapa. Andy dan Hana menggeleng serentak. Macam tau-tau aja nak geleng sama. Sedondon gitu. Suka-sukahati je nak sedondon ngan isteri orang!

“Hita horang tak hacau fon. Almaklumla hitorang han hentelmen”, ujar Rizal beria-ria. Kedua gadis tersebut berkerut dan tersenyum menampakkan lesung pipit masing-masing.

“Kau diam je la Rizal. Biar aku cakap je sebab setiap kali kau yang cakap, aku yang kena translate. Penat weh!”, Che Wan pantas menekup mulut Rizal dari terus bercakap. Mereka gelak terbahak-bahak. Yang pasti Andy tak dapat melupakan gadis di hadapannya walaupun dia sendiri tahu takkan mungkin gadis tersebut boleh menjadi miliknya sampai bila-bila. Redha je la dengan jodoh yang maknya kenalkan esok.

**********


“Mak, Anje taknak tunang boleh?”, kata Andy. Lantas tersedak Mak Senah dek kerana soalan cepumas anak bongsunya itu. Sedari semalam asyik mengelak untuk bertunang. Kalau diikutkan darah Jawanya, nak sahaja Mak Senah ikat Andy di pohon Tualang.. disua pulak dengan kerengga. Macam dulu-dulu.

“Kau jangan nak buat hal Anje. Kita dah sampai rumah orang ni. Kang mak lipat tulang belikat kau kang! Tu la mak suruh cari calon kau tak bawa-bawa. Balik-balik dibawanya Che Wan dan Rizal. Budak dua orang tu bukan boleh bagi mak cucu! Sekarang mak dah ada calon kau tak nak pulak”, bebel Mak Senah. Andy kembali ke sisi Che Wan dan Rizal. Harapannya hancur. Terunanya bakal diragut oleh si pengait jambu. Rizal mengusap-usap dada Andy yang bidang minta dia lebih bersabar.

Mak Senah berborak panjang dengan bakal besannya. Apa yang mereka borakkan Andy sendiri tak tahu, kepalanya melayang ke luar mengenangkan nasib. Berserah sahaja dengan jodoh yang ditentukan emaknya. Kenapa emaknya tak nak jodohkan gadis tersebut itu dengan abahnya sahaja. Untung-untung boleh dapat adik baru. Emaknya pun tak perlu buat kerja seorang diri. Kalau lah emaknya boleh baca fikirannya waktu itu, mahu kena simbah minyak panas dia balik nanti.

Emaknya memintanya berdiri untuk memperkenalkan dirinya. Dah serupa time sekolah-sekolah dulu pulak. Andy hanya mengukir senyum tawar. Dia nak tunjukkan tanda protes, biar keluarga sebelah perempuan tahu yang dia dalam mod terpaksa. Maaf tiada lagu sound track sebab emosinya tak stabil ketika itu. Andy selangkah kehadapan, emaknya menjegilkan mata namun dia nekad untuk meluahkan rasa isi hatinya.

“Saya nak bagitau yang sebenarnya saya..”

Tiba-tiba gadis tersebut keluar menghidangkan air. Andy tergamam. Gadis itukah yang mereka sebut-sebutkan? Itukah bakal tunangnya?

“..err saya setuju je la kalau dia yang pakcik dan makcik maksudkan..”, ujar Andy gagap sambil jarinya ditujukan ke arah gadis di hadapannya. Gadis tersebut turut memandang dan riak wajah terkejut jelas kelihatan. Tetapi perlahan-lahan dia tersipu-sipu malu dan kembali ke dapur. Adik beradiknya yang baru perasan turut teruja dan mengusik-usik gadis tersebut.

Mak Senah cepat-cepat menarik lengan anaknya itu. Dia sendiri tak faham kenapa perangai anaknya berubah. Sebelum ini bukan main tak suka, tapi sekarang beria-ia pula. Mungkin masalah hormon yang tak berapa stabil. Mak Senah pun tau juga, walaupun belajar tak tinggi mana tapi setakat mata pelajaran Alan Dan Manusia tu sempatlah dia khatam. Dulu-dulu punya cerita la.
                                                                                                                           
Che Wan dan Rizal sendiri tercengang, mereka memandang antara satu sama lain. Mungkin itulah yang dikatakan jodoh. Andy pula menyibukkan diri, jari jemarinya pantas menaip mesej. Tak pernah dia menaip sepantas itu. Sepantas bunga-bunga yang tumbuh mekar di dalam lubuk hatinya.

“Assalamualaikum awak”

“Waalaikumussalam”

“Tak sangka kan?”

“Ye, saya pun tak sangka. So macamana, awak sudi ke kalau saya jodoh awak?”

“Dengan hati terbuka. Tapi cincin di jari awak.. bukan ke awak kata..”

“Oo, betul la cincin daripada bakal suami saya. Bukan saya yang kata semalam, adik saya yang kata ye. Mak awak berikan bulan lepas sewaktu datang merisik”

“Saya ingatkan awak betul-betul dah kahwin..”

“Dah awak tak tanya..”

“Jadi yang semalam tu.. awaklah yang saya telefon?”

“Iyelah awak..”

Mereka rancak berborak. Dunia Andy dirasakan hanya antara dia dan Syikin sahaja, atau nama sebenarnya Norhana Asyikin. Tak sangka gadis yang dia temui semalam merupakan jodohnya.. tak percaya boleh tanya Che Wan dan Rizal. Haa nasi ayam pun boleh jadi saksi! Andy memandang wajah ibunya. Akhirnya kini dia 100% rela keterunaannya direnggut oleh si pengait jambu itu untuk selama-lamanya.


“Kerrlasss kau Senah”, jerit Andy di dalam hati.

You Might Also Like

11 comments

  1. alaa, so sweet. masa kecik gemuk, dah besar cun.

    ReplyDelete
  2. omg...so sweet...!!hahaa..awesomee!

    ReplyDelete
  3. Inilah namanya jodoh kan..tak sangka rupanya first time bertentang mata itullah jodohnya..berkat usaha mak anje jugak..manje kemain nama timangan andy tu..lawak dan sweet jugak cerita ni afzal..yang pasti lawak lebih but happy ending :)

    ReplyDelete
  4. nilah cerpen paling kuajaq yg pernah dibaca :D we want more! we want more!

    ReplyDelete
  5. best ! tak sia sia baca menahan gelaknye lagi. kuikui :P

    ReplyDelete
  6. sory.. bru baca.Tgh tgok2 cerpen td.. trjumpe cerpen nii.
    Pape pon, mmg x brhnti ketwa bace cerpen nii.. haha
    Part Rizal tu yg klkr. :D

    ReplyDelete
  7. Xtau la ni citer romantik atau pon citer komedi ape pon terrbaeekkkkk

    ReplyDelete
  8. best cita ni, hehe...kalau ada sambungan lagi best!

    ReplyDelete