Kisah Alam Angker : Pejabat


Amir merebahkan badannya di penjuru katil. Pandangannya memandang siling tanpa kipas. Fikirannya terawang-awang memikirkan masalahnya yang masih tiada jalan penyelesaian. Sudah hampir dua bulan dia menumpang di rumah sepupunya itu. Bukan tak mahu menyewa sendiri, tapi dia sendiri masih menganggur. Seminggu dua mungkin tak mengapa, tetapi kini sudah hampir dua bulan dia hanya bergantung harap pada si Razi walaupun Razi sendiri mengatakan yang dia tidak kisah. Amir mengeluh panjang, pandangannya kaku.

"Amir, boleh aku masuk?", sapaan Razi dari luar pintu membuatkan Amir terjaga daripada lamunan. Lantas dia bangun dan menguak daun pintu. Razi dengan muka penat memberikan keratan kertas kecil kepadanya.

"Esok kau free tak? Ni ada kerja kosong untuk kau. Try la mana tau rezeki kau kat sini", Razi senyum dan meninggalkan Amir mengangguk angguk sendiri. Dia memandang jawatan yang ditawarkan. Tak kisah la jawatan apa, dia tak mahu berharap sangat. Takut kecewa.

*****

gambar hiasan

"Baiklah esok awak boleh mula bekerja. Awal-awal pagi esok lapor diri dengan Puan Yana", ujar lelaki separuh abad yang lebih sesuai dipanggil bos. Amir tercengang, tak sangka rezekinya di sini.

Dia beredar setelah meneliti setiap inci pejabatnya. Dia mula mengintai-intai meja kosong yang bakal diisinya esok. Di pejabat tersebut, setiap meja staf diasingkan dengan petak partition. Bila dikira rawak, ada la dalam 15 partition tapi tak semuanya diisi. Bilik tersebut agak luas tetapi berkongsi tandas di tingkat dua. Yang ada hanya pantri kecil untuk staf berehat dan membuat air.

Amir tak tunggu lama. Hendak sahaja dia maklumkan kepada Razi. Dia patut berterima kasih kerana selama ini pun Razi lah yang banyak berusaha membantunya mencari kerja. Kalau tak kerana Razi, tak tahu lah di mana dia akan merempat sekarang.

"Wak, saya nak pulangkan pas", Amir menyerahkan pas pelawat kepada pengawal yang bertugas. 

"Macamana? Diterima kerja di sini?", tanya pengawak tersebut yang bernama Jaki tersebut, seperti yang tertera pada lencana uniform kerjanya.

"Alhamdulillah Wak. Esok saya mula kerja", sahut Amir. Riak gembira masih tak lekang daripada wajahnya.

"Wak nak pesan ni. Habis kerja terus balik ya. Jangan lebih dari pukul 7", ujar Wak Jaki bersahaja sambil tangannya masih membelek-belek lesen kepunyaan Amir.

"Ok Wak. Tarahal", sambung Amir sambil lesen miliknya bertukar tangan. Dia tak mahu fikir banyak. Apa yang penting dia mahu segera sampai ke rumah.

Dia mendongak memerhatikan pejabatnya di tingkat empat dari pondok pengawal. Bibirnya tersenyum lagi tanda puas. Amir terus melangkah pergi tanpa dia sedar kelibat seseorang sedang memandangnya dari sisi tingkap pejabat.

*****
"Alamak"

Amir mendengus kecil. Berdecit-decit mulutnya, mengomel sendirian. Bagaimana lah dia boleh lupa untuk membuat salinan kerjanya. Dia memerhatikan jam yang sudah hampir pukul 6.30 petang. Sejak seminggu lalu dia telah diarahkan oleh bosnya untuk menyiapkan kertas kerja syarikat dan dia diberi tempoh sehingga esok pagi. 

Memandangkan dia pun hampir tiba di perkarangan rumahnya, dia nekad akan kembali ke pejabatnya secepat mungkin seusai mandi dan solat Maghrib. Berkira-kira juga bila teringatkan pesanan Wak Jaki sebelum ini tetapi kerjanya harus diselesaikan. Dia tidak mahu kerana kerja yang tak siap ini. dia dipersalahkan atau kemungkinan paling teruk dia akan dibuang. Ye la dia pun masih di dalam tempoh percubaan. Dia harap sangat Wak Jaki tak kisah.

Sesudah solat Maghrib, Amir terus memecut ke pejabatnya yang terletak hampir 30 minit perjalanan. Hari semakin gelap dan petanda hujan akan turun semakin dirasainya tatkala visor helmetnya semakin kelabu dibasahi rintik kecil air hujan. Dari tadi kenderaan banyak. semakin lama semakin berkurang apabila dia memasuki jalan sehala menuju ke pejabatnya. Pandangannya sekejap gelap.. sekejap terang dek kerana terdapat beberapa lampu jalan yang terbiar rosak. Sesekali dia mengelak lopak berair sebelum tiba di hadapan pondok pengawal.

"Assalamualaikum. Wak..oo Wak", jerit Amir dari atas motor lagi. Kelibat Wak Jaki tiada, tetapi lampu bilik pengawal terbuka. Radio di bilik pengawal juga dibiarkan terpasang. Fikirnya mungkin Wak Jaki ada di sekitar bangunan buat pemeriksaan. Lagipun bila Amir mendongak, dia mendapati lampu di ruang pejabatnya terpasang.

"Mungkin Wak ada di atas kot", Amir menongkat motornya dan bergegas menuju ke tingkat empat. Tak tahan sejuk di luar, hujan pun semakin lebat di telan kepekatan hari yang menjangkau malam.

*****

Termengah-mengah Amir menaiki anak tangga. Masa begini pulak lah lif nak buat hal. Jantungnya berdegup pantas. Berdegup kerana penat mungkin, berdegup kerana takut pun ada. Mana tak nya bila lalu di tingkat satu dan dua tadi dia terdengar bunyi sesuatu sedang menyelongkar tong sampah. Mungkin hanya kucing, sekadar nak menyedapkan perasaannya sahaja. Tak berani nak menjengah lebih dekat. Bagaimana jikalau bukan kucing?

Amir mengintai dari luar dan kemudian menguak pintu belakang pejabat. Matanya meliar mencari Wak Jaki, tetapi tiada di dalam. Dari belakang dia dapat melihat seseorang di meja hadapan. Dek kerana pandangannya dibatasi partition yang ada, yang kelihatan hanya separuh kepala ke atas. Dari pandangan belakang nampak seperti seorang wanita, berambut lurus.. berbaju merah.

"Siapa pulak tu", getus Amir di dalam hati.

"Hai kak tak balik lagi?", tegur Amir. Suasana sepi seketika.

"Nak balik mana lagi", suara wanita tersebut memecah keheningan membalas pertanyaan Amir setelah beberapa ketika. Pelik jawapannya. Dahi Amir sedikit berkerut.

"Ok kak", Amir terus menghidupkan komputernya. Dia perlu siapkan kerjanya terlebih dahulu. Sementara itu dia melihat cermin tingkap dari tempat duduknya. Hujan kelihatan semakin melebat di bawah remang cahaya lampu jalan. Nampak gayanya lewat lah dia balik malam ni. Sementara menunggu komputernya loading, dia menuju ke pantri untuk membuat kopi panas.

Sekali sekala Amir cuba berbual dengan kakak tersebut. Ditanya sepatah, sepatah dibalasnya. Amir kembali ke mejanya dan dia perasan yang kedudukan rakan sepejabatnya itu telah berubah. Wanita tersebut sudah berada di empat partition dari hadapannya, semakin merapati ke mejanya. Tapi masih tak nampak raut wajahnya kerana wanita tersebut masih memandang hadapan. Nak kata buat kerja.. tak juga sebab sedari tadi posisinya sama sahaja. Namun kali ini Amir dapat melihat rakan sepejabatnya itu menyikat-nyikat rambutnya dengan tangan dan sesekali terdengar wanita berkenaan mengekek kecil sendirian.

Suasana kembali sepi. Hanya deruan hujan melebat sahaja yang kedengaran.

Amir memandang jam di dinding, sudah pukul 9.45 malam. Dia memeluk tubuh kemas, suhu di bilik tersebut semakin rendah. Sementara dia menunggu untuk menyalin data dan kertas kerja yang sudah siap, dia bergerak ke pintu belakang dengan niat untuk ke tandas. Tandas pula di tingkat dua. Kalau mampu tahan, mahu sahaja dia tahan sehingga tiba di rumah apakan daya tetapi pundi kencingnya tak sebesar yang disangka. Sesekali matanya meliar mencari Wak Jaki di ruang pejalan kaki yang gelap. Satu bangunan gelap, yang bercahaya hanya datang dari pejabatnya.

"Nak kemana tuuu", tiba tiba kedengaran suatu suara daripada wanita tersebut. Amir terkejut. Bukan kerana pertanyaan tersebut, tetapi pada hujungnya seakan ada bunyi mendayu-dayu. Tengkuknya meremang tiba-tiba.

"Err nak pegi toilet kak. Akak tolong tengokkan komputer saya ye", ujar Amir segera bergegas menuruni tangga tanpa terus menunggu jawapan yang keluar daripada mulut wanita tersebut.

*****

Sunyi. Pintu hadapan tandas yang usang dikuak. Berkeriuk memecahkan suasana. Lampu tandas berkelip-kelip seolah tunggu terpadam sahaja. Bagi memastikan tiada siapa selainnya, Amir menguak pintu tandas satu persatu. Sah dia sendirian. Dia lantas memilih tandas paling hadapan untuk melepaskan hajat.

Baru sahaja dia mahu duduk, dia terdengar pintu hadapan tandas dikuak lagi. Tapi kali ini keriuk bunyi pintu disusuli dengan tangisan halus. Tangisan tersebut bergerak ke kubikel tandas paling hujung. Berderau darah Amir hingga ke kepala. Siapa lagi yang ada di bangunan ini selain dia? Takkan kakak sepejabatnya tadi. Kalau ia pun kenapa suara tangisan seakan wanita itu masuk ke tandas lelaki?

Amir cuba mengancing butang seluarnya perlahan-lahan. "Tapp!!"

"Siapa tuuu", suara tangisan itu menjadi perlahan. Jelas Amir yakin itu adalah suara perempuan.

Amir terdengar pintu kubikel tandas paling hujung dikuak perlahan. Nyaring bunyinya, cukup menyeramkan. Seketika kemudian dikuaknya pintu kubikel di sebelah. Dalam tandas tersebut terdapat empat kubikel. Jadi yang tinggal hanya dua kubikel sahaja sebelum pintu tandasnya dikuak dari luar. Dengan perlahan cepat-cepat Amir menyelak sendal pintu daripada dalam. Mulutnya terkunci rapat dan dia memilih untuk berdiri di atas tempat duduk jamban.

Dia dapat mendengar dengan jelas pintu sebelah dibuka. Rasa ingin mengintai daripada bahagian atas tetapi bimbang jika diketahui. Kemudian ada cubaan untuk menolak pintunya daripada luar tetapi tak berjaya. Setelah dua tiga kali cuba ditolak, suasana jadi sepi seketika. Tiada suara, tiada sapaan dan pintu utama tandas juga masih tak terdengar kuakannya. Bermakna perempuan tersebut masih ada situ.. bersamanya.

Dahi Amir berpeluh, seiring dengan degupan jantungnya yang kian kuat menghentam dada..


Tiba-tiba pada ruang bawah pintu tandas, dia lihat perlahan-lahan menjulur sesuatu masuk ke dalam. Bila Amir amati betul-betul, ia adalah kepala wanita. Keadaannya seperti seakan mengintai Amir. Berderau darah Amir terus dibukanya pintu tersebut dan berlari menaiki tangga. Tangga yang dinaikinya dirasakan sangat panjang dan jauh. Dia juga mendengar suara tangisan kecil mengekorinya menaiki tangga dari belakang. Lagi menakutkan tatkala dia cuba mengintai dari ruang antara tangga, dia melihat wanita tersebut juga sedang memerhatikannya.

Bergegas dia menerjah ke bilik pejabat. Rakan stafnya masih berada di meja..tak berganjak. Dia tak peduli apa yang sedang dibuatnya, yang penting dia kena keluar. Dia tak rasa yang dia perlu maklumkan apa yang berlaku kepada kakak berkenaan. Rasa menyesal menyelubungi diri. Amaran Wak Jaki terus terusan bermain di fikirannya. Dia berharap sangat yang dia akan terserempak dengan Wak Jaki ketika itu.

"Nak ke mana tuuu?", tiba tiba rakan pejabatnya menegur dengan soalan yang sama.

"Nak balik dah kak. Kerja dah siap". Suara Amir tersekat-sekat kerana penat dan ketakutan. Dia langsung tak memberi perhatian kepada kakak tersebut.

Dalam keadaan tergesa-gesa, pendrive milik Amir terjatuh. Amir segera menunduk cuba untuk mengambil tetapi tiba-tiba ada tangan menghulurkan pendrive tersebut kepadanya.

"Dah siap.. atau dah tau? Hehe.."

Tiba-tiba di hadapannya kelihatan seorang wanita berwajah pucat, menyeringai  dari pipi ke pipi dengan pandangan tajam kepadanya. Amir menjerit ketakutan sehingga berganjak ke belakang. Dikuatkan kudratnya untuk bangun berlari keluar daripada bilik tersebut. Dia sempat berpaling dan mendapati bilik tersebut gelap gelita. Yang kedengaran hanya suara hilai tawa yang datangnya dari dalam bilik tersebut.

Amir jadi tak keruan. Setiap anak tangga dilangkahnya besar-besar. Dia mahu cepat keluar, dia mahu cepat pulang. Tetapi dia rasakan ada sesuatu masih tak lepas-lepas mengekorinya dari belakang.

Sesampainya dia di lobi, dilihatnya pintu lobi terkunci. Amir cuba menjerit meminta tolong. Bila dia berpaling, dia melihat kelibat wanita di hujung kaki tangga..terpaku di balik lampu jalan yang suram. Jelas kelibatnya semakin lama, semakin menghampiri. Terawang-awang, terhuyung hayang..

"Janganlah balikTemankan aku di sini boleh?", suara tersebut terngiang-ngiang di cuping telinganya tatkala matanya ditutup rapat.. ketat. Tak sanggup untuk melihat kelibat yang tak mahu dilihat oleh manusia normal yang lain. Amir penat, suaranya hilang. Hilaian dan kekekan kecil memenuhi segenap penjuru lobi.

Bilik pengawal masih kosong tiada orang. Tiada juga kelibat Wak Jali. Suara Amir seakan tenggelam di dalam lebatnya hujan. Bangunan tersebut bergelap lagi tanpa siapa tahu apa yang telah berlaku pada malam itu. Malam itu dirasakan sangat panjang sekali. 

*****
"Wak kemana semalam? Lampu terpasang, radio tak tutup", getus Malim yang sedang bersiap untuk pulang. Shifnya diganti dengan Wak Jaki untuk sebelah malam pula. Wak hanya diam, tetapi fahamlah si Malim.

Wak Jaki sanggup menghabiskan shif malamnya di Warung Pokli di simpang depan sebelum jalan besar daripada terus menunggu memerhatikan bangunan pejabat tersebut semalaman walaupun dia sudah bekerja dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai jaga.

"Kenapa dengan bro tu?", tanya anak muda yang datang entah daripada mana secara mengejut. Sesekali lelaki tua tersebut menghembus rokok daun yang dihisapnya ke sisi.

"Entahlah. Dia cari sepupunya. Dia kata sepupunya kerja kat sini", sambungnya lagi. Anak muda tersebut tersenyum

"Haa kau nanti, kalau dah kerja kat sini.. jangan balik lawat malam. Paling lambat pukul 7 petang je tau. Jangan kata Wak tak ingatkan", getus lelaki tua tersebut.

"Ok wak", anak muda tersebut mengangguk lagi. Tak pasti sama ada faham atau tak ambil pusing dan terus berlalu meninggalkan perkarangan bangunan.

Lelaki tua tersebut mendongak. Matanya menangkap bukan seorang tetapi kali ini sepasang lelaki dan perempuan sedang berdiri di sisi tingkap pejabat sedang memerhatikan anak muda tadi. Dia sendiri berharap tiada lagi jawatan kosong akan diisi di pejabat tingkat empat tersebut.


TAMAT


VOLKSWAGEN KUNING


Volkswagen Kuning antara kisah seram urban legend yang diceritakan sejak aku sekolah rendah lagi. Tak kisah lah daripada mulut ke mulut atau pengalaman sendiri, Volkswagen Kuning terus menghantui masyarakat di Malaysia dari dulu sehingga kini.

Kini daripada adaptasi kisah seram, Volkswagen Kuning ini akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 22 September 2016. Antara pelakon-pelakon yang membintangi filem ini adalah seperti Pekin Ibrahim dan Atiqah Suhaimie.


Kisah ni mengenai sepasang kekasih yang telah bertunang, bernama Fuad (Pekin Ibrahim) dan Sarah (Atiqah Suhaimie) .Suatu hari sewaktu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad, mereka telah diganggu oleh sesuatu dan gangguan itu terus berlaku sehingga mereka terlibat dengan kemalangan.


Fuad yang cedera, ditahan wad manakala Sarah langsung tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan. Tetapi siapa tahu sewaktu kemalangan itu berlaku, Sarah turut membawa balik sesuatu bersama dengannya.


Setahu aku, as long korang tak potong atau mengekori kenderaan mini kecil berwarna kuning ini, korang akan selamat.

Apa kata kita tengok filem seram terbitan MIG Pictures Sdn Bhd arahan Shadan Hashim ni beramai-ramai di pawagam. Kita tengok tahap mana seramnya filem ini berbanding cerita-cerita yang sudah kita dengar sebelum ni huhu.

TRAILER VOLKSWAGEN KUNING

Korang juga boleh join contest yang dianjurkan Bro Framestone dengan kerjasama
MIG Pictures Sdn Bhd di sini :


Dan berita baiknya hadiah utama yang bakal korang menangi adalah OPPO F1, pakar selfie anda. Amacam menarik tak? Apa lagi jom la join.



7 Comments

  1. alamak salah timing plak aku baca haha

    ReplyDelete
  2. Giler seram. meremang bulu roma, dah lah kat pejabat sesorang, time ni pulak bunyi macam2. but serius cerita kau best. mcm real bila baca.

    ReplyDelete
  3. Nak baca kene sebelum tidur ni baru layan... ok nak baca jugak..hihihi

    ReplyDelete
  4. mlm ternmpk entry ni..kena tgu esok la br bc....takut bc mlm2 huhu

    ReplyDelete
  5. hoi !! kakak kat kampung plak time baca nih.. wrong timing btol !!! tapi dah habis baca.. hahahah~

    ReplyDelete