Review Filem Hantu Kak Limah 2018


Bismillah,

Sebab tak nak lepaskan peluang, semalam 9 Ogos 2018 aku ke pawagam untuk menonton filem terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Hantu Kak Limah. Alhamdulillah seat di TGV Cheras Selatan masih punya 4 row kosong di bahagian hadapan.


Untuk pengetahuan korang, filem sekuel ketiga Hantu Kak Limah ni selepas kemunculan filem pertamanya pada tahun 2010 iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, dikatakan masih mengekalkan jalan cerita yang lebih dekat dengan senario masyarakat kampung khususnya. Filem Hantu Kak Limah kali ini mengisahkan tentang Kak Limah yang baru berkahwin dengan Khuda, salah seorang penduduk Kampung Pisang. Tetapi malangnya dua minggu selepas itu, Kak Limah ditemui mati oleh penduduk kampung di saat Khuda, Husin, Yeh Sekupang dan Sharwani pergi menjerat burung di dalam hutan.


Kematian Kak Limah menggemparkan penduduk Kampung Pisang kerana kematiannya seperti tak masuk akal. Ini kerana Nayan (Ropie) telah menumpangkan Kak Limah dalam perjalanannya ke Klinik Desa Kampung Pisang sebelum melihat jenazah Kak Limah di sana. Hujah Nayan dikuatkan lagi dengan kenyataan Khuda, Husin, Yeh Sekupang dan juga Sharwani yang turut makan pengat labu yang dimasak Kak Limah di rumahnya.


Akhirnya setelah Nayan dan beberapa penduduk kampung 'berjumpa' sendiri dengan  hantu Kak Limah, Husin, Yeh Sekupang dan Sharwani memberanikan diri untuk menyiasat perkara sebenar tentang kematian dan hantu Kak Limah tersebut. Serius ada beberapa adengan dan jalan cerita yang sangat kelakar seperti sewaktu Nayan sedang menjaga jasad Kak Limah di Klinik. Korang sendiri tau Nayan (Ropie) sentiasa mengeluarkan phase atau ayat-ayat lucu seperti 'Taaakk laaahh' , 'I'm speechless' atau 'God heellpp me' lebih-lebih lagi sewaktu dia cuba untuk menghidupkan kotak suis yang menyebabkan klinik blackout.


Lagi satu adengan sewaktu Husin, Yeh Sekupang dan Sharwani cuba untuk menyiasat siapa sebenarnya yang mereka jumpa di rumah Khuda, suami Kak Limah. Aku dengar Husin (Awie) dan Sharwani gelak pun dah kelakar apatahlagi bila melihat gelagat dorang mencuba beberapa tips dan teknik untuk membuktikan sama ada Kak Limah hantu ataupun tidak.


Kehadiran watak baru seperti Encik Solihin lakonan Zul Ariffin menghidupkan dan membuatkan jalan cerita benar-benar berkesan. Walaupun merupakan guru silat, pakar rawatan tradisional dan juga mampu memberi khidmat renew lesen dan roadtax, dia tetap kalah pada awalnya di tangan Kak Limah. Walaupun agak awkward meletakkan Zul Ariffin sebagai Tok Bomoh, tetapi beliau berjaya membawa watak dan blend dengan watak-watak komedi lain dalam filem ini lebih-lebih lagi sewaktu mereka terperangkap di dalam kereta Nayan sewaktu dikejar Kak Limah. Ini membuktikan Zul Ariffin versetail dan mampu membawa watak komedi walaupun beliau lebih dikenali sebagai watak lelaki maskulin, macho dan pencinta wanita gitu haha.


Walaupun begitu ketiadaan watak asal seperti Arwah Pak Zami, Arwah Pak Jabit, Usop Wilcha dan Arwah Azwan Annuar sedikit sebanyak turut dirasai kerana mereka adalah watak 'kuat' untuk filem sekuel Hantu Kak Limah ini walaupun hanya membawa watak penduduk kampung biasa. Apa yang membuatkan jalan cerita Hantu Kak Limah ini kuat adalah disebabkan ayat-ayat dan bahasa yang digunakan sangat dekat ngan masyarakat. Senang aku katakan filem garapan Mamat Khalid ini lebih hampir dengan karya-karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee, senang diingat dan mudah difahami walaupun ada sesetangahnya ada maksud tersirat.


So aku cadangkan korang bawa seisi keluarga untuk menonton filem sekuel ketiga Hantu Kak Limah ini di lebih 100 pawagam di seluruh negara kerana filem ini mampu membuatkan korang tak kering gusi sehingga ke hujung cerita. Untuk rating aku bagi 4/5. Kenapa tak full? Sebab ketiadaan pelakon-pelakon asal yang telah pergi menghadap ilahi. Tanpa yang lama, pasti takkan ada yang baru dan gelagat-gelagat mereka yang mencuit hati pasti akan kita ingat sebagai tulang belakang filem Hantu Kak Limah hingga ke hujung nyawa.

Al Fatihah untuk arwah Pak Zami, arwah Pak Jabit, arwah Azwan Annuar dan arwah Yeh Sekupang.

3 Comments

  1. Yeap. Mmg filem mamat khalid ni dekat dengan hati orang melayu. hehe. boleh tengok ni nantiii

    ReplyDelete
  2. rindunya dengan pelakon pelakon lama

    ReplyDelete
  3. cerita arahan mamat khalid tak pernah mengecewakan

    ReplyDelete