Kenapa Orang Muda Patut Beli Tanah Untuk Buat Rumah Di Selangor



Bismillah,

Aku terpandang billboard di salah sebuah highway menuju ke selatan tanah air semalam sewaktu pulang cuti beraya. "Rumah Mampu Milik Cuma Serendah 1.1 Juta Sahaja". Istilah 'cuma' dan 'sahaja' tu je dah buat aku berbulu. Beli rumah sampai berjuta dia kata mampu milik? Mampu tengok ada la. Itu kalau rumah double storey atas tanah, kalau apartment sahaja pun dah mencecah setengah juta! Allahu tepuk dahi je la. Rasa macam tak berbaloi pun ada sebab aku pernah melihat sendiri saiz rumah apartment kawan aku yang berharga sekitar RM400k. Saiznya sama macam rumah kos rendah aku yang berharga RM100k. Yang membezakan rumah dia dan rumah aku adalah dia ada 2 bilik air dan aku ada 1 bilik air sahaja. Jadi kenapa mahal sangat?


Sebab tanah! Yup harga rumah melonjak disebabkan harga tanah semasa dan lokasi rumah tersebut yang berada di lokasi berkepadatan penduduk tinggi dan dikelilingi dengan tempat-tempat tumpuan pengunjung. Kadang-kadang aku menyesal juga kerana awal-awal bekerja dulu tak melabur duit untuk beli tanah. Selalu je pakcik aku yang berada di Melaka memaklumkan kepada aku tanah-tanah yang hendak dijual di sana. Kadang-kadang harganya di bawah harga pasaran. Bila aku tanya harga semasa, harga tanah tersebut telah melonjak 10 kali ganda berbanding harga asal. Sebab tu untungnya membeli tanah kerana harganya akan sentiasa meningkat tahun demi tahun.


Tapi kepada yang dah beli tanah atau ada tanah sendiri, korang sangat beruntung sebab boleh membuat rumah mengikut bajet dan design yang korang mahu. Tapi korang kena tahu gak tak semua tanah sesuai untuk dijadikan tapak perumahan. Ada tanah yang korang beli tu sesuai untuk pertanian dan ada juga sesuai dibangunkan sebagai tapak komersial. So macamana nak tau atas tanah korang tu boleh dibuat rumah?

CARA BELI TANAH DI SELANGOR UNTUK BINA RUMAH SENDIRI


Sebenarnya untuk membina rumah sendiri di atas tanah sendiri, korang kena pastikan yang geran tanah korang itu adalah geran individu dengan nama korang sendiri. Ini memudahkan untuk korang memohon pinjaman bank atau pembiayaan LPPSA. Malah urusan korang untuk memohon CCC/CF dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga lebih mudah kerana hanya dengan kebenaran PBT sahaja, pinjaman bank atau pembiayaan LPPSA dapat diuruskan dengan lancar. So macamana cara membeli tanah untuk bina rumah di Selangor? 

  • Pastikan tanah yang hendak dibeli tersebut telah mempunyai geran individu yang berasingan serta berstatus bangunan dan boleh dipindahmilikkan kepada pembeli.
  • Transaksi jual beli tanah tersebut mestilah mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang sebenar dengan mengupah penguam untuk menguruskan perjanjian jual beli secara bertulis, memasukkan syarat-syarat bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli dan urusan pindahmilik daripada penjual kepada pembeli hendaklah didaftarkan di pejabat tanah.
  • Tanah tersebut hendaklah dibangunkan rumah kediaman di atasnya. Saiznya cukup untuk dibangunkan rumah yang selesa dan tidak terlalu kecil.


  • Dapatkan salinan geran hak milik individu yang berasingan daripada penjual terlebih dahulu bagi memastikan tanah yang dibeli tersebut benar-benar wujud dan tidak berlaku sebarang penipuan. Tetapi sekiranya pembeli kerap memberi alasan atau mengelak untuk memberikan salinan geran hak milik individu, aku cadangkan korang hentikan sahaja urusniaga tersebut kerana berkemungkinan ia adalah scammer atau ada unsur-unsur penipuan
  • Setelah mendapat salinan geran hak milik individu tersebut, pembeli hendaklah membuat semakan di pejabat tanah bagi memastikan yang salinan geran tersebut asli dan mempunyai rekod di pejabat tanah. Pastikan lokasi tanah tersebut sama seperti yang dinyatakan penjual sewaktu korang melawat tapak tanah sebagaimana yang ditunjukkan oleh si penjual.
  • Pastikan lokasi tanah tersebut strategik untuk dibangunkan rumah. Ambil kira juga kemudahan dan prasarana yang ada di sekitar tapak rumah seperti kemudahan balai polis, kedai runcit, sekolah dan pengangkutan awam sebelum memilih tanah tersebut untuk didirikan rumah.
  • Tidak disyorkan untuk memilih tanah yang jauh daripada kepadatan penduduk, di dalam hutan atau kawasan yang tinggi peratusan kadar jenayah. Apa-apa pun buat pencarian terlebih dahulu pro and cons lokasi tanah tersebut. Kadang-kadang kalau harga tanah terlalu murah pun boleh mencurigakan kita kan?

So itu antara fakta yang perlu korang ambil kira sebelum membeli tanah di Selangor ni. Jangan beli sambil lewa, asal murah terus deal. Siap letak duit booking lagi. Jangan letak duit booking sebelum mendapat khidmat nasihat dan pandangan peguam korang. Korang juga boleh lihat artikel di bawah ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan urusan dan proses pinjaman bank / LPPSA bagi pembelian tanah di Selangor. 

BINA RUMAH BANGLO UNTUK HOMESTAY DI SELANGOR


Ada sesetengah orang ingin membina rumah banglo di atas tanah sendiri bagi tujuan homestay. Ye la daripada terbiar dinaiki lalang dan rumput, apa kata kita keluarkan sedikit modal untuk bangunkan rumah banglo bagi tujuan homestay. Dalam pada masa yang sama kita boleh jana pendapatan bulanan. Mula-mula ni dapat lepas bayar duit pinjaman pun alhamdulillah. Then perlahan-lahan kita boleh invest untuk pengiklanan dan lengkapkan fasiliti pada rumah banglo tersebut.

KENAPA RUMAH BANGLO DAN BUKAN RUMAH TERES?


Sebenarnya kalau nak diikutkan rumah teres pun tak ada masalah tapi kalau untuk long term, aku lagi prefer rumah banglo. Kenapa? 

  • Boleh buat lebih daripada 3 bilik. Aku pernah pegi ke sebuah villa, bukan banglo lagi ye. Dengan keluasan tanah lot teres, owner tanah tersebut terus bina villa yang dilengkapi dengan 10 buah bilik. Cuba korang bayangkan sebuah bilik dia sewakan minimum RM200 semalam. Bayangkan kalau 10 bilik tersebut penuh setiap hujung minggu? Darab pula dengan 4 minggu dalam sebulan? Agak-agak lepas tak dia bayar duit pinjaman bulanan? Aku rasa siap ada duit lebih lagi kot. RM200 tu minimum ye.
  • Dengan membina rumah banglo, ia menarik minat kelompok untuk acara lebih besar seperti family day, gathering sekolah, perjumpaan kelab dan banyak lagi. Ia lebih menguntungkan owner rumah kerana ia menjana lebih pendapatan berbanding homestay rumah teres.


  • Homestay bersaiz banglo juga mempunyai lebih banyak ruang untuk melakukan aktiviti berkelompok dan juga lebih banyak fasiliti dapat disediakan seperti kolam renang, tapak BBQ, tapak aktiviti, ada bangsal atau pangkin kayu untuk istirehat, ruang untuk indoor games dan ruangan parkir.
  • Untuk jangkamasa panjang mana tahu kita ingin pindah duduk ke dalam rumah banglo tersebut, segalanya telah siap tersedia. Banglo tersebut mempunyai segala macam kemudahan yang kita invest sejak dari mula. Jadi masuk cuci kaki sahaja dan menikmati hasil yang kita semai selama ini bersama keluarga tersayang. Saudara mara datang, nak buat kenduri kendara pun tak jadi masalah lagi. Bilik banyak, ruang untuk mendirikan khemah ada tanpa perlu minta izin jiran tetangga, tapak untuk merewang ada, tapak parkir pun banyak. So nak apa lagi?

Kalau korang nak dapatkan idea, melihat design sama ada interior mahupun exterior banglo korang tu, korang boleh lihat banglo-banglo yang telah dibangunkan sebagai homestay banglo di sekitar Melaka. Mana tahu banglo korang bakal menjadi sebuah homestay yang terkemuka di Selangor pula nanti kan?

INTERIOR DESIGN RUMAH BANGLO MENARIK SEPERTI HOTEL 5 BINTANG


Janganlah buat rumah banglo biasa. Cliche sangat, sama macam rumah-rumah banglo orang lain je. Alang-dah nak buat rumah banglo sendiri kan, buatlah mengikut design yang terbaik. Upah interior designer kalau betul korang tak ada idea atau tak tau nak buat design macamana. Tak pun cuba lihat dekorasi dan interior design hotel-hotel terkemuka tanah air. Sekurang-kurangnya kita akan berpuas hati dan kagum dengan hasilnya nanti.

Kalau aku la kan diberi tanah, nak buat sebuah banglo yang memenuhi beberapa kriteria yang aku mahu. Ni idea aku, kalau korang nak ambil, silakan. Aku just share idea aku sebab dah lama aku pendam idea-idea ni. Mana lah tau kan rezeki tup tup ada orang nak bagi aku tanah untuk didirikan banglo ke kan?

  • Banglo aku 2 tingkat, dibangunkan di atas bukit menghadap matahari terbit atau tembenam. Dikelilingi pokok-pokok hijau dan ada sungai di belakang tapak banglo aku tu.
  • Tingkat 2 banglo aku tu, aku nak ia dibina menggunakan sepenuhnya kayu. Dari tingkat 2 tu aku nak dirikan air terjun pada dinding berbatu ke tingkat bawah dengan landskap kolam yang dipenuhi dengan ikan koi import. 
  • Tingkat 2 mempunyai 3 bilik tidur di mana setiap bilik dilengkapi dengan bathtub dan dinding kaca menghadap pemandangan luar, 2 bilik air, 1 ruang membaca dan dipenuhi almari buku pada dindingnya, 1 bilik solat dengan maksimum 10 orang jemaah dan 1 ruang rehat beserta smart TV 4K bersaiz 70 inci dengan audio sistem sambil menghadap pemandangan di kaki bukit.


  • Di tingkat bawah pula mempunyai 3 bilik tidur, 1 ruang santai untuk bermain PS4, 1 ruang tamu dilengkapi dengan smart TV 4K bersaiz 70 inci dengan audio sistem, lantai ruang tamu tersebut diperbuat daripada tempered glass di mana bawahnya bersambung dengan kolam ikan (air terjun), ada ruang makan dengan meja untuk 12 orang makan, 2 dapur, 2 tandas dan 1 bilik untuk menempatkan indoor games seperti billiard / pool dan karaoke.
  • Di belakang rumah pula aku nak tanam pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis, mangga, duku dan ada batas untuk sayur-sayuran. Ada pangkin untuk berehat yang mempu memuatkan sehingga 8 orang dewasa. Di belakang pangkin tu ada anak sungai untuk anak saudara mandi manda sekiranya berkunjung nanti.
  • Di sisi sebelah kanan banglo aku tu nanti ada tapak untuk melakukan sebarang aktiviti sama ada BBQ, ruang untuk khemah kahwin dan buat aktiviti sukaneka. Ruang ini kosong manakala di bahagian tanahnya pula aku letakkan rumput karpet. Sengaja aku biarkan ruang ini kosong supaya anak-anak saudara boleh bermain bersama-sama di sini. 


  • Ruang di sisi kiri banglo aku pula aku buatkan kolam renang bersaiz kanak-kanak (kurang 1 meter). Di sisi kolam tu aku buatkan ruang yang cukup untuk saudara mara buat BBQ atau berehat di kerusi santai berpayung.
  • Di bahagian depan pula aku buat ruang parkir kenderaan yang mampu memuatkan sehingga 8 buah kenderaan. Seluruh kawasan rumah aku, akan aku sinari dengan lampu agar rumah aku kelihatan terang benderang pada waktu malam.

Itu adalah sedikit sebanyak idea spontan aku tentang interior design rumah banglo aku nanti. Tapi aku pasti idea korang lagi hebat. Berbanding interior di hotel-hotel bertaraf 5 bintang, aku lagi prefer interior boutique hotel. Nampak lebih fresh dan menarik. Lebih simple dan tak terlalu esklusif. Warna rumah aku tu nanti, aku akan gunakan pelbagai warna untuk setiap ruang seperti kuning terang, merah jambu dan biru lembut. So orang dapat bezakan setiap kali mereka bertukar ruang atau memasuki ruang yang berbeza. 

So korang boleh lihat contoh-contoh hiasan dalam yang ada di hotel-hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini. Mana tau dapat memantapkan lagi idea yang ingin korang gunakan bagi membina rumah banglo idaman korang kan? Dan kalau korang tengah mencari arkitek dan kontraktor bagi membina rumah idaman ni, korang boleh rujuk artikel di bawah ni ye.

Mesti baca:



1 Comments